Dua sahabat parah, motosikal langgar lembu

Lembu yang dilanggar motosikal dinaiki dua sahabat berkenaan mati di lokasi. - Foto IPD Hulu Terengganu Gambar kecil: Mohd Adli
Lembu yang dilanggar motosikal dinaiki dua sahabat berkenaan mati di lokasi. - Foto IPD Hulu Terengganu Gambar kecil: Mohd Adli
A
A
A

HULU TERENGGANU - Dua sahabat parah apabila motosikal dinaiki mereka melanggar seekor lembu di Kilometer 4, Jalan Kuala Pueh-Payang Kayu, Kuala Berang di sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.25 malam itu, penunggang, Muhammad Noor Hafizie Mohd Razelam, 19, parah di muka dan kepala manakala rakannya, Wan Muhamad Haikal Daniel Wan Mohd Hilmi, 17, parah di muka dan tangan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua remaja itu dalam perjalanan dari arah Kuala Pueh untuk pulang ke rumah di Kampung Tapah.

"Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi, seekor lembu tiba-tiba melintas dan disebabkan jarak terlalu dekat, Muhammad Noor Hafizie yang menunggang motosikal jenis Yamaha 150Z tidak sempat mengelak lalu merempuh haiwan tersebut.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan motosikal dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas di kiri jalan menyebabkan kedua-duanya cedera parah sebelum dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan susulan.

"Disebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan parah, mereka dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Adli berkata, kedua-dua mangsa sehingga hari ini masih dirawat di HSNZ Kuala Terengganu dan dilaporkan masih tidak sedarkan diri.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: