Kedah siap siaga hadapi musim kemarau

Zamri (tiga dari kanan) ketika Pelancaran PAWE di Taman Wira Mergong, di sini hari ini.
Zamri (tiga dari kanan) ketika Pelancaran PAWE di Taman Wira Mergong, di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah memberi jaminan krisis bekalan air yang sering melanda di beberapa kawasan menjelang musim kemarau tidak lama lagi dapat diatasi melalui persiapan awal yang dilakukan sejak awal tahun ini.

Exco Bekalan Air dan Sumber Air Kedah, Datuk Zamri Yusuf berkata, buat masa ini, Empangan Muda sudah mencatatkan penyusutan apabila hanya menampung kira-kira 60 peratus air.

Bagaimanapun menurutnya, persiapan telah dilakukan termasuk perbincangan bersama Syarikat Air Darul Aman (SADA) bagi mencari solusi terhadap permasalahan yang sering berlaku di kawasan-kawasan berisiko termasuklah Merbok dan Tanjung Dawai.

"Kawasan seperti di Bedong dan Tanjung Dawai kita sudah asingkan pengurusan supaya kita dapat kurangkan gangguan serta air tidak terhasil (NRW)," katanya kepada media selepas Program Hari Bersama Komuniti dan Pelancaran Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Taman Wira Mergong, di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sudah mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk mengaktifkan telaga tiub yang terletak di belakang Balai Polis Merbok sekiranya paras bekalan air makin berkurangan.

"Sekarang ini tidak perlu lagi sebab bekalan air masih mencukupi, namun ia adalah persediaan kita untuk menghadapi musim kering dari Januari hingga Mac depan," katanya.

Beliau berkata, masalah tekanan air di kawasan Kedah Selatan juga makin berkurangan apabila 1,500 pengguna di kawasan Bedong menggunakan skim lain yang meringankan tekanan di kawasan Tanjung Dawai dan Merbok.

"Insya-ALLAH, kita menjangkakan pengurusan lebih teratur dan khidmat lebih baik pada tahun ini dan krisis seperti sebelum ini dapat dielakkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Zamri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti telah menghadiri pelancaran PAWE yang dirasmikan Exco Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad.

PAWE yang beroperasi dari jam 9 pagi hingga 5 petang itu dapat menjadi satu medium kepada warga emas untuk menjalankan aktiviti secara bersama termasuk aktiviti keagamaan, rekreasi dan pemeriksaan kesihatan.