'Kail' duit tabung masjid guna lidi bergam

Dua lelaki ditahan penduduk selepas disyaki memancing wang tabung masjid di Parit Buntar semalam. - Foto ihsan pembaca
Dua lelaki ditahan penduduk selepas disyaki memancing wang tabung masjid di Parit Buntar semalam. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

PARIT BUNTAR - Dua lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun ditangkap penduduk selepas disyaki mencuri wang tabung Masjid Pusat Bandar Al-Ridzuan di sini malam semalam.

Kejadian sekitar jam 1.10 pagi itu disedari oleh penduduk Taman Kerian yang sepakat melakukan rondaan selepas mengalami beberapa kejadian kehilangan wang tabung di masjid berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, berdasarkan laporan, penduduk ternampak kedua-dua suspek memasuki masjid menerusi laluan kubur berhampiran.

“Suspek terus menuju ke tabung yang terletak di hadapan pintu masjid dan menjolok dengan menggunakan lidi bagi memancing wang tersebut.

“Setelah menyedari kehadiran penduduk, suspek telah melarikan diri tetapi salah seorang berjaya ditangkap di Taman Linear Bandar, Jalan Temenggong berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, polis yang menerima maklumat telah membuat tangkapan semula suspek berusia 17 tahun itu dan suspek kedua berusia 20 tahun ditahan kira-kira 20 minit kemudian.

“Hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek yang berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang itu menggunakan lidi yang disapu dengan gam untuk memancing wang dalam tabung tersebut.

“Polis turut merampas sebatang lidi, kertas pelekat lalat, sehelai seluar jeans dan wang tunai RM80 pelbagai not,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Omar Bakhtiar berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.