IADA Seberang Perak serius tangani ulat putih

Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kanan: ABDUL YUNUS
Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kanan: ABDUL YUNUS
A
A
A

IPOH - Serangan ulat pengorek batang padi atau ulat putih di Seberang Perak disifatkan serius dan boleh menjejaskan hasil tuaian padi sehingga 50 peratus sekiranya tiada kawalan dilakukan.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata, berdasarkan laporan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak, serangan serangga perosak itu membabitkan kawasan sawah seluas 1,127 hektar daripada keseluruhan 4,584 hektar.

"Mengikut bancian yang dilakukan, tahap serangan atau 'economic threshold level' (ETL) di blok A adalah sebanyak 10 peratus atau 85 hektar, hingga 15 peratus (72 hektar) serangan di blok B, 40 peratus (640 hektar) di blok C serta 40 peratus (330 hektar) di blok D.

"Untuk Blok F (awam), tahap serangan masih belum dapat ditentukan kerana umur padi yang masih muda kira-kira 30 hari lepas tanam. Keseluruhan kawasan IADA Seberang Perak adalah seluas 4,584 hektar melibatkan sekitar 800 orang pesawah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pihak IADA Seberang Perak mengambil langkah kawalan dan pencegahan termasuk bancian oleh skuad pembanci penyakit dan perosak padi yang dimulakan sejak permulaan musim penanaman padi termasuk pemasangan perangkap lampu oleh pihak Biosekuriti Tumbuhan Titi Gantong bermula Julai 2019.

"Selain itu, lima sesi taklimat dan ceramah berkaitan kawalan serangan perosak tanaman padi telah dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Teknikal Jabatan Pertanian sepanjang tahun 2019," katanya.

Abdul Yunus berkata, kawalan bersepadu dalam menangani permasalahan serangan ulat batang dilaksanakan oleh IADA Seberang Perak bersama Koperasi Pesawah Blok B melibatkan kawalan secara kimia menggunakan dron membabitkan 311 lot padi dengan keluasan keseluruhan sebanyak 622 hektar menggunakan kos serta bekalan racun sedia ada daripada pihak IADA Seberang Perak dengan kos penyemburan ditanggung pihak Koperasi Pesawah Blok B.

"Dengan kawalan secara bersepadu, tahap kehadiran ibu rama-rama ulat pengorek batang itu dapat dikurangkan dengan signifikan di kawasan Blok B.

Artikel Berkaitan:

"Pemantauan secara teliti dilakukan secara berterusan oleh pegawai IADA Seberang Perak dalam menangani masalah serangan ulat batang," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan keluhan petani di Seberang Perak dekat Kampung Gajah yang hampa apabila sawah yang diusahakan rosak akibat serangan ulat pengorek batang padi atau chilo suppressalis hingga menjejaskan pendapatan pada musim ini

ARTIKEL BERKAITAN: Padi musnah dirosakkan ulat putih