DPI Holdings komited kembangkan segmen OBM ke pasaran baharu

Peter Chai (kiri) ketika merasmikan majlis penyenaraian DPI Holdings Berhad di Pasaran Utama Bursa Malaysia di Bursa Malaysia Berhad.
Peter Chai (kiri) ketika merasmikan majlis penyenaraian DPI Holdings Berhad di Pasaran Utama Bursa Malaysia di Bursa Malaysia Berhad.
A
A
A
DPI Holdings Bhd yang disenarai di Pasaran ACE semalam, akan meluaskan segmen pengeluaran jenama asal (OBM) serta meneroka empat pasaran baharu, termasuk Kemboja dan Vietnam tahun ini.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Peter Chai@Choy Mui Seng berkata, syarikat yang sebahagian besarnya terlibat dalam pengeluaran dan pengedaran aerosol, sudah bersedia menembusi lebih banyak pasaran baharu dan memperkenal produk baharu aerosol bagi menyokong peluasannya.

Segmen OBM kini menyumbang 85 peratus kepada hasil dan baki 15 peratus lagi segmen pengeluaran peralatan asal (OEM).

"Kami mengeksport 18 peratus daripada pengeluaran. Bagi Asia Tenggara, permintaan ke atas tin aerosol sahaja sebanyak lima juta.

"Oleh itu, kami menyediakan RM1.3 juta untuk pembangunan produk daripada RM31.6 juta yang dikumpul daripada Tawaran Awam Permulaan (IPO),” katanya selepas majlis penyenaraian DPI Holdings Berhad di Pasaran Utama Bursa Malaysia di Bursa Malaysia Berhad.

Baki RM23.5 juta akan digunakan untuk perbelanjaan modal bagi meluaskan kapasiti pengeluaran, manakala RM3 juta untuk capaian pengguna menerusi aktiviti pemasaran dan pengiklanan.

Syarikat itu kini beroperasi di Jepun, Australia, New Zealand, Singapura dan Indonesia.

Tambahnya, kumpulan itu akan membina kilang baharu dilengkapi empat barisan pengisian aerosol automatik, dengan projek bermula menjelang separuh pertama 2020.

"Kilang baharu itu dan barisan pengeluaran yang dipertingkat, akan menggandakan kapasiti pengeluaran tahunan kepada 20 juta tin berbanding 9.7 juta,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Pada pembukaan itu, DPI didagangkan pada 34.5 sen, premium 9.5 sen melepasi harga terbitan pada 25 sen, dengan 20.13 juta saham bertukar tangan.

Jelasnya, prestasi harga saham itu yang tinggi walaupun pasaran suram mencerminkan keyakinan ke atas syarikat itu.

"Kami akan bekerja keras untuk memastikan prestasi bertambah baik,” katanya.