Produktiviti tunggak tahun 2020

A
A
A

LUMRAHNYA, setiap kali meraikan tahun baharu, kita menanam pelbagai tekad dan azam ingin dicapai. Kita merancang dan menyusun sasaran agar dapat membawa perubahan lebih baik dalam apa juga yang kita lakukan.

Namun pada kebiasaannya, banyak lagi yang kita tetapkan dalam perancangan tahun 2019 yang belum mencapai tahap yang diingini atau langsung tidak menepati sasaran.

Bagi penjawat awam sasaran kerja tahunan (SKT) sering 'menghantui' warga kerja kerana akan dinilai prestasi dan hasil kerja bagi tahun berkenaan.

SKT sebenarnya berkaitan dengan produktiviti, menilai sejauh mana penjawat awam sama ada produktif atau sekadar menjalankan rutin biasa tanpa ada penambahbaikan secara keseluruhan.

Penilaian prestasi pekerja (individual performance appraisal) adalah satu proses penilaian prestasi secara individu yang dilakukan secara berkala terhadap pencapaian pekerja.

Penilaian prestasi adalah salah satu aktiviti pengurusan sumber manusia yang paling kritikal dan yang paling banyak menimbulkan masalah dalam organisasi.

Satu sistem formal yang berstruktur bertujuan untuk mengukur dan menilai gelagat dan hasil yang berkaitan dengan kerja bagi membolehkan mereka mengetahui mengapa dan bagaimana pekerja mampu melaksanakan kerja dengan lebih baik pada masa hadapan bagi kebaikan pekerja dan organisasi.

Beer Et Bert (1993) menyatakan penilaian prestasi individu adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan mesti dilaksanakan dalam mana-mana organisasi pun. Setiap pekerja sentiasa dinilai oleh ketua atau penyelia, rakan dan orang yang mereka selia.

Artikel Berkaitan:

Kebanyakan organisasi mempunyai sistem penilaian yang formal yang dapat memberikan maklumat dan petunjuk (indicators) yang boleh mengukur prestasi setiap individu dalam organisasi.

Sesetengah organisasi menggunakan pendekatan online dan digital untuk mengukur prestasi yang lebih bersifat 'teknikal'. Pendekatan begini kurang melambangkan keadaan sebenar prestasi dan produktiviti kerana ia berdasarkan 'target' tanpa melihat faktor hubungan manusia dan aspek-aspek psiko-sosial yang lain.

Namun pada hakikatnya kebanyakan penilaian akhirnya sentiasa dibuat secara tidak formal.

Menilai lebih kepada hubungan sesama pekerja, pekerja dan majikan, tingkah laku dan sikap pekerja dalam organisasi. Ini menyebabkan wujudnya ketidakpuasan hati dan 'konflik' antara penilai dengan orang yang dinilai. Maka keluarkan istilah 'pilih kasih', 'pilih bulu', 'kabel' dan sebagainya.

Prestasi

Sebenarnya dalam pengurusan sumber manusia yang strategik penilaian prestasi sahaja adalah tidak mencukupi untuk memastikan pencapaian keseluruhan matlamat strategi organisasi.

Penilaian prestasi individu tidak dapat dikaitkan sepenuhnya dengan prestasi keseluruhan organisasi. Maka prestasi individu dan organisasi perlu dikaitkan secara langsung demi memastikan kejayaan objektif organisasi sejajar dengan matlamat individu.

Satu sistem pengurusan prestasi yang dapat menghubungkan prestasi individu dengan matlamat strategi organisasi adalah lebih kritikal berbanding penilaian prestasi individu yang hanya dapat mengurus pekerja yang bermasalah semata-mata.

Pengurusan prestasi dapat membantu mencapai objektif yang ditetapkan oleh organisasi di samping memenuhi keperluan pengurusan sumber manusia yang strategik secara menyeluruh.

Maka Sistem Penilaian Prestasi Perkhidmatan Awam digubal berasaskan kepada dua prinsip utama iaitu, penilaian yang adil dan telus berasaskan kepada petunjuk prestasi utama/ hasil kerja/ output/ impak di mana bersesuaian serta perlakuan yang berkaitan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Kedua untuk menggalakkan persaingan positif dalam meningkatkan kualiti dan produktiviti ke arah pencapaian objektif organisasi.

Tujuan utama sistem penilaian prestasi ini adalah untuk membolehkan prestasi pegawai dinilai dengan lebih sistematik dan objektif. Membolehkan Ketua Perkhidmatan melaksanakan penilaian prestasi mengikut kesesuaian skim perkhidmatan atau bidang tugas.

Selain membolehkan penilaian prestasi digunakan dalam pelbagai fungsi pengurusan sumber manusia seperti kemajuan kerjaya, pergerakan gaji, pemberian insentif, penempatan dan latihan.

Namun yang penilaian ini berperanan memberi pengiktirafan (reward) kepada pegawai yang menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam tugas yang diamanahkan serta aktif dalam penglibatan dan sumbangan di luar tugas rasmi.

Ini kerana kajian menunjukkan bahawa terdapat hubungan antara pengiktirafan dengan produktiviti. Individu yang diberikan pengiktirafan dalam pelbagai pendekatan meningkatkan lagi motivasi dan kepuasan kerja. Seterusnya, ia dapat meningkatkan penglibatan dan komitmen semua peringkat pegawai penyelia dalam proses penilaian prestasi;

Namun perlu diingat bahawa penilaian prestasi juga membolehkan tindakan diambil bagi tujuan memperbaiki dan meningkatkan prestasi pegawai. Selain dan mengambil tindakan (punishment) terhadap pegawai berprestasi rendah melalui dasar pemisah (exit policy).

Selalunya tindakan akan diberikan kepada mereka yang tidak produktif dan dianggap tidak memberikan sumbangan kepada organisasi.

Justeru, tahun 2020 yang akan kita raikan menjanjikan harapan dan sinar baharu dalam perkhidmatan awam. Harapan kita agar setiap perancangan akan meningkatkan produktiviti individu dan organisasi.

Jika kita secara konsisten mengutamakan produktiviti dan kualiti dalam apa juga yang kita lakukan sebenarnya kita telah melakukan yang terbaik buat diri kita, keluarga dan masyarakat.

Walaupun sumbangan yang kita anggap kecil, tetapi sebenarnya cukup bermakna dalam menentukan produktiviti secara kolektif.

Dalam usaha mencapai status negara maju menjelang tahun 2020, Malaysia memerlukan peningkatan besar dalam produktiviti negara. Peningkatan produktiviti sesebuah organisasi boleh dicapai melalui pekerja yang berkemahiran tinggi dan rajin.

Tahun 2020 diharap menjanjikan langkah berstrategik ke arah menjadi negara maju lebih cekap dan produktif. Teras utama adalah untuk meningkatkan pembangunan modal insan yang produktif dalam semua sistem perkhidmatan dan pengurusan.

Ini selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia ke-11, bertujuan untuk menangani cabaran pembangunan sosial, ekonomi dan alam sekitar dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi untuk memenuhi keperluan rakyat.

*Prof Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA