Jangan Felda dimanipulasi lagi

A
A
A

APA juga usaha menambah baik Felda adalah amat dialu-alukan. Ia adalah sebahagian daripada janji kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Namun ia wajiblah dengan niat baik, cara betul dan melibatkan orang yang bersih. Bukan konco Barisan Nasional (BN) yang terlibat rosakkan Felda.

Sejak ambil alih pentadbiran negara tahun lalu, kerajaan PH telah buat kertas putih mengenai Felda dan peruntuk RM6.3 bilion bagi atasi berbagai-bagai masalah Felda yang ditinggalkan kerajaan BN.

Kita tidak mahu manipulasi era kleptokrasi Datuk Seri Najib Tun Razak berulang. Sebab itu kita pertikai pembabitan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (JAG), dalam hal Felda ini.

Banyak lagi yang perlu kita buat untuk kembalikan Felda kepada keadaan asal setelah dirogol beramai-ramai oleh Najib dan konco-konconya.

Ada dua usaha besar sedang dilakukan. Pertama, kembalikan aset strategik Felda yang kerajaan BN pajak kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) pada tahun 2012.

Dua aset paling besar yang digadai adalah ladang seluas 350,000 hektar dan 65 buah kilang perahan kelapa sawit.

Kedua, minta usahawan Indonesia Tan Sri (Kehormat) Peter Sondakh laksanakan put option dengan beli semula 37 peratus saham Eagle High Plantations (EHP) yang dia jual kepada Felda dengan harga yang sangat mahal.

Artikel Berkaitan:

Peter Sondakh adalah sahabat karib Najib. Saya difahamkan rundingan ke arah itu sedang berjalan. Dokumen dan surat yang saya lihat, babitkan Johari dalam pembelian saham EHP itu.

Yang jadi masalah dengan cadangan susun semula Felda dan FGV adalah kurangnya butir tentang apa yang hendak dilakukan dengan FGV setelah ladang dan kilang diberi balik kepada Felda.

Kita kena ingat, walaupun ladang dan kilang diberi semula kepada Felda, pembabitan Felda dengan FGV tidak selesai malah akan jadi lebih besar.

Ikut apa yang saya tahu setakat ini, pemilikan saham oleh Felda dan Koperasi Pelaburan Felda Berhad (KPF) dalam FGV akan jadi lebih besar setelah FGV diambil alih oleh pelabur swasta dan dirombak.

Jadi kita hendak tahu apa rancangan pihak swasta untuk pulihkan FGV supaya Felda tidak rugi sekali lagi. Yang ini saya minta peneroka Felda dan wakil-wakil mereka faham betul-betul.

Baguslah kalau Felda dapat balik ladang dan kilang. Tapi kita nak tahu juga, dapat balik dengan percuma atau kena bayar pampasan.

Kalau kena bayar pampasan, jumlahnya mungkin sampai beratus juta ringgit. Mana Felda nak cari duit? Saya harap Felda cari jalan supaya dapat balik bercuma.

Kita bukan hendak sekat mana-mana pihak yang banyak duit dan banyak kepakaran buat cadangan ambil alih syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Yang kita tak mahu ialah pihak-pihak terlibat guna kerajaan, agensi awam dan GLC untuk kepentingan korporat masing-masing.

Ikut apa yang saya tahu, apabila FGV diambil alih oleh pelabur swasta, ia akan ditukar jadi syarikat sendirian berhad dan dikeluarkan daripada Bursa Malaysia. Lepas itu boleh jadi dibuat tawaran awam permulaan (IPO) sekali lagi. Ini cara orang korporat cari modal dan buat duit cepat.

Sekarang Felda ada 33.67 peratus saham dalam FGV dan Koperasi Pelaburan Felda (KPF) 5.25 peratus. Jumlah besar 38.92 peratus.

Saya difahamkan apabila disusun semula, saham Felda dan KPF akan naik kepada 49 peratus. Maksudnya peluang dan cabaran kepada Felda lebih besar.

Kalau FGV untung besar, dividen kepada Felda pun besar tapi kalau rugi, kerugian Felda pun lebih besar juga. Kita kena ingat, Felda telah rugi besar dalam pelaburan dengan FGV setakat ini. Kalau tidak silap, Tabung Haji pun ada saham dalam FGV.

Maaf cakaplah kalau saya kata, dalam masa 50 tahun saya jadi pemberita dan buat liputan politik serta ekonomi, saya sudah tengok banyak usahawan bumiputera dan bukan bumiputera jadi kaya raya dalam sekelip mata kerana kontrak, projek dan konsesi kerajaan.

Saya tengok mereka naik menyacak kerana sokongan kerajaan dan jatuh merudum apabila sokongan ditarik balik. Ini kerana mereka bukanlah pandai sangat berniaga tapi nampak kuat atas sokongan kerajaan.

Malangnya apabila perniagaan mereka jatuh merudum, yang terpaksa tanggung beban adalah kerajaan dan rakyat jelata. Mereka sendiri tetap hidup senang-lenang dengan kekayaan peribadi yang melimpah-ruah.

Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara