Jadikan keselamatan di jalan raya azam tahun baharu

Foto: 123rf. Gambar kecil: Lee Lam Thye
Foto: 123rf. Gambar kecil: Lee Lam Thye
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mengurangkan jumlah kemalangan dan mengamalkan budaya keselamatan di jalan raya perlu ada dalam senarai azam tahun baharu bagi setiap rakyat Malaysia.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, keselamatan perlu menjadi sebahagian daripada budaya pengguna jalan raya bagi memastikan jalan raya lebih selamat untuk semua orang bagi mengurangkan jumlah kemalangan maut.

"Negara kita mencatatkan enam hingga tujuh ribu orang maut di jalan raya dan ini adalah sesuatu yang tidak boleh dibanggakan oleh Malaysia, kita tidak boleh berbangga.

"Secara purata, kira-kira 19 sehingga 21 orang mati setiap hari. Kebanyakannya (kemalangan) melibatkan penunggang motosikal, sama ada penunggang motosikal atau pembonceng, sering menjadi mangsa kemalangan jalan raya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Lam Thye berkata, ini menunjukkan perkara itu mesti diutamakan oleh semua pihak, termasuk kerajaan dan masyarakat kerana nyawa setiap orang amat berharga.

Beliau berkata, walaupun agak mustahil untuk mencapai sifar kemalangan jalan raya adalah penting untuk mengamalkan keselamatan di jalan raya seperti memakai tali pinggang keselamatan dan menggunakan Kerusi Keselamatan Kanak-kanak (CRS).

Menurut penyelidikan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), pada tahun 2015 kurang daripada 12 peratus penumpang tempat duduk belakang memakai tali pinggang keselamatan berbanding pemandu dan penumpang kerusi hadapan yang hampir 90 peratus.

"Saya fikir (semua orang) harus memakai tali pinggang keselamatan mereka kerana telah terbukti bahawa jika tali pinggang keselamatan tidak dipakai semasa berlaku kemalangan, kesannya sangat besar sehingga boleh menyebabkan kecederaan serius kepada penumpang.

Artikel Berkaitan:

"Saya faham bahawa Kementerian Pengangkutan juga telah menyatakan bahawa mereka akan menjalankan kempen selama enam bulan untuk menggalakkan penggunaan CRS dan saya berharap dalam tempoh enam bulan itu, orang ramai akan sedar tentang pentingnya kerusi keselamatan kanak-kanak," katanya.

Pada 19 November, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan tiada saman akan dikeluarkan kepada ibu bapa yang gagal menggunakan CRS dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaan mandatorinya mulai tahun depan kerana kementerian mahu mendidik terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa bentuk tindakan penguatkuasaan.

Pada 23 Oktober lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan bahawa penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan persendirian akan diwajibkan mulai 1 Januari tahun depan. - Bernama