Lagi penerbangan terhenti akibat dron

Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow dihentikan sementara akibat dron. - Foto CNBC
Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow dihentikan sementara akibat dron. - Foto CNBC
A
A
A

LONDON - ENGLAND. Semua penerbangan yang dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow dihentikan sementara selama sejam semalam selepas sebuah dron dilihat berlegar di kawasan terbabit.

Pengurusan lapangan terbang memaklumkan menerusi Twitter, mereka bekerja sama rapat dengan Polis Metropolitan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Sebagai langkah keselamatan, kami menghentikan semua penerbangan berlepas sementara siasatan dilakukan.

"Kami meminta maaf kepada semua penumpang atas sebarang masalah yang timbul akibat tindakan ini,” katanya.

Operasi penerbangan yang mendarat di Heathrow bagaimanapun berjalan seperti biasa.

Insiden terbabit berlaku dua minggu selepas dron dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Gatwick, lapangan terbang kedua terbesar di Britain, mengakibatkan semua penerbangan dihentikan selama tiga hari.

Susulan kejadian, Gatwick mengambil pendekatan menggunakan teknologi anti dron dan Heathrow memberi jaminan akan turut menggunakan sistem yang sama.

Dalam maklum balas terhadap kekecohan di Gatwick, Setiausaha Pengangkutan Chris Grayling pada Isnin lalu berkata, zon larangan dron di sekitar lapangan terbang Britain akan diperluaskan.

Artikel Berkaitan:

Pemilik dron juga boleh didenda sehingga 100 pound (RM523) sekiranya mereka gagal mendaratkan dron apabila diarah berbuat demikian atau menunjukkan lesen menggunakan peralatan itu. - AFP