Pereka grafik disamun ketika basuh baju

Rakaman CCTV menunjukkan suspek bertindak mengancam mangsa dengan menggunakan kayu.
Rakaman CCTV menunjukkan suspek bertindak mengancam mangsa dengan menggunakan kayu.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pereka grafik disamun oleh dua lelaki dalam satu kejadian yang berlaku di sebuah kedai dobi berhampiran Bandar Sri Damansara awal pagi semalam.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, dalam kejadian pada jam 12.10 tengah malam itu, mangsa bersama rakannya telah didatangi oleh dua individu yang mengancam mereka dengan menggunakan kayu.

Mohd Zani berkata, kedua-dua suspek turut menutup muka mereka dengan menggunakan kain bagi menggelakkan wajah dikenalpasti.

"Seorang suspek kemudian merampas beg galas mangsa dan rakannya. Malah suspek berkenaan turut bertindak melarikan kereta mangsa jenis Perodua Myvi.

"Bagaimanapun, mangsa dan rakannya tidak mengalami sebarang kecederaan ekoran kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Zani berkata, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di premis kejadian mendapati kedua-dua suspek adalah berketinggian 170cm dan berbadan kurus.

Beliau berkata, rakaman CCTV juga menunjukkan senjata digunakan suspek adalah merupakan sebatang kayu berwarna coklat.

"Antara kerugian dialami mangsa adalah wang tunai RM200, enam telefon bimbit, dokumen pengenalan diri, kunci rumah dan kenderaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, polis sedang giat memburu suspek terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.