X

Kindly register in order to view this article
!

Penjawat awam rugi RM10,000 selepas dihubungi dua 'pegawai polis'

Gambar kecil: Hamdan
A
A

KUALA NERUS - Seorang penjawat awam kerugian RM10,000 disyaki ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar wakil dari sebuah bank di Seremban, Negeri Sembilan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali berkata, lelaki berusia 53 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki ketika berada di pejabatnya di Wakaf Tengah di sini Ahad lalu.

“Lelaki itu mendakwa sebagai wakil dari sebuah bank di Seremban dan kononnya mangsa ada tunggakan pinjaman peribadi selama tiga bulan serta akan dikenakan tindakan jika tidak mahu membuat bayaran.

“Selepas itu mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai 'Sarjan Nasarudin' sebelum talian telefon disambungkan kepada 'Inspektor Ridzuan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, mangsa diarahkan memasukkan RM10,000 ke dalam nombor akaun bank diberikan.

"Tanpa ragu-ragu, mangsa terus melakukan dua transaksi iaitu yang pertama sebanyak RM9,000 dan kali kedua RM1,000 ke dalam akaun bank diberikan.

"Mangsa bagaimanapun mula merasa curiga dan menyedari ditipu setelah tiga hari tidak dihubungi individu berkenaan sejurus memasukkan wang diminta," katanya.

Jelasnya, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut pada Khamis lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!