'Lokman Adam perlu dipecat dari UMNO'

Gambar kiri: Rizam Ismail, gambar kanan: Noor Hariri Mohamed Noor
Gambar kiri: Rizam Ismail, gambar kanan: Noor Hariri Mohamed Noor
A
A
A

KOTA BHARU - Pemuda UMNO Kelantan menggesa supaya keahlian Datuk Lokman Adam sebagai ahli parti dan juga jawatan Majlis Tertinggi UMNO dipecat berikutan tuduhan yang dibuat terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi Facebooknya.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, tindakan keras perlu dibuat kerana fitnah dilemparkan terhadap Ahmad Zahid yang kononnya tunduk kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan niat untuk dilepaskan daripada 87 pertuduhan di mahkamah.

Menurutnya, hukuman itu juga sebagai pengajaran kepada ahli-ahli UMNO yang lain, seterusnya menjaga maruah institusi Presiden UMNO daripada terus diserang lagi oleh parasit dari dalam parti seperti Lokman.

“Pemecatan ini amat wajar memandangkan ini bukanlah tuduhan kali pertama Lokman terhadap institusi Presiden sahaja, malahan hampir semua pimpinan tertinggi UMNO Malaysia diserang dengan tuduhan bersifat peribadi dan fitnah jijik.

"Lokman juga membuat tuduhan serius dengan menyebut kononnya Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa telah berbohong dalam isu penafian peletakan jawatan Tan Sri Affandi Ali selaku Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO,” katanya.

Katanya, tindakan sedemikian juga wajar memandangkan Lokman juga dikatakan membuat tuduhan berniat jahat kononnya majoriti ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO pro kepada Dr Mahathir kerana takut dikenakan tindakan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

“Kami tidak pernah lupa di awal Jun lalu, Lokman juga membuat tuduhan kepada Timbalan Presiden UMNO dan Ketua Pemuda UMNO bahawa kononnya mereka berdua ini mendalangi gerakan untuk menyingkirkan pihak tertentu melalui perlembagaan,” katanya.

Sementara itu, Pemuda UMNO Selangor menggesa Lokman dikenakan hukuman yang setimpal susulan daripada dakwaannya sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Ketuanya, Rizam Ismail berkata, Jawatankuasa Disiplin UMNO perlu memanggil dan mendengar tuduhan oleh Lokman terhadap Ahmad Zahid yang dibuat tanpa mengikut amalan kebiasaan.

"Ttindakan hukuman yang setimpal itu amat diperlukan bagi menjadi pengajaran kepada ahli-ahli UMNO lain selepas ini.

"Langkah ini juga bagi menjaga maruah Presiden UMNO daripada diserang sekali lagi dalam parti ini tanpa mengikut undang-undang kebebasan bersuara yang diamalkan selama ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Lokman mendakwa Ahmad Zahid memainkan peranan untuk menghalang prosiding disiplin terhadap Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Malah, Lokman turut mendakwa Ahmad Zahid membuat keputusan sendiri dengan mengatakan bahawa perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO lalu bersetuju supaya kes Hishamuddin ditutup.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ayer Tawar berkata, kenyataan dikeluarkan Lokman adalah perkara yang serius dan dapat menjatuhkan kredibiliti parti itu sendiri.

"Di saat UMNO kembali meraih kepercayaan seluruh rakyat dan kerajaan PH (Pakatan Harapan) itu sendiri mengalami kesukaran mentadbir negara, maka adalah menjadi kewajipan kita sebagai ahli parti untuk mempunyai kesedaran dalam diri bagi mempertahankan UMNO.

"Janganlah kita mencari populariti dengan melibatkan ketidakpercayaan diri sendiri ke atas pucuk pimpinan atasan," katanya.

Menurutnya, UMNO Selangor turut menyelar tindakan Lokman yang menggunakan media sosial bagi mengemukakan persoalan berat kepada pucuk pimpinan parti sekali gus mengundang persepsi buruk di kalangan akar umbi.