Kes rogol remaja bawah umur di Pulau Pinang membimbangkan

Narenasagaran
Narenasagaran
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang memandang serius kes jenayah rogol membabitkan remaja bawah umur yang mencatatkan 78 peratus daripada 462 kes di negeri ini bagi tempoh 2014 sehingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, perkara itu perlu dibanteras dan dibendung lebih awal supaya tidak menjadi lebih teruk pada masa hadapan.

Beliau berkata, statistik menunjukkan remaja berusia antara 13 dan 15 tahun merupakan golongan paling ramai menjadi mangsa rogol iaitu sebanyak 264 kes atau 57 peratus sepanjang tempoh tersebut.

“Antara punca utama remaja berusia 13 hingga 15 tahun paling ramai menjadi mangsa adalah kerana mahu mencuba sesuatu serta percaya kepada teman lelaki yang kononnya sayangkan mereka.

"Berdasarkan statistik, bagi tempoh itu 42 peratus atau 193 kes direkodkan membabitkan teman lelaki, 139 kes atau 30 peratus melibatkan kenalan mangsa, anggota keluarga sebanyak 54 kes, tidak kenal (43 kes) dan kenalan baharu (33 kes),” katanya kepada Bernama.

Narenasagaran berkata, mangsa di bawah umur 12 tahun pula sebanyak 28 kes atau enam peratus manakala remaja berusia 16 hingga 17 tahun membabitkan 67 kes atau 15 peratus daripada keseluruhan kes itu.

Katanya, selain didikan ibu bapa dan guru berhubung kes rogol termasuk maklumat berhubung sentuhan tidak selamat kepada anak-anak mereka, pihak polis menerusi Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) turut memberi pendedahan dan ceramah berkaitan undang-undang jenayah rogol bawah umur kepada pelajar sekolah di negeri ini.

Beliau berkata, polis akan memperkasakan program penerangan terutama di peringkat sekolah sebagai satu daripada usaha mengurangkan kes rogol dalam kalangan remaja bawah umur di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini juga aktif memberikan maklumat serta pendedahan berhubung kes-kes rogol kepada golongan wanita terutama remaja sekolah bagi membantu mengurangkan kes tersebut. - Bernama