Wee Wern sasar jadi pemain 15 terbaik dunia

Low Wee Wern
Low Wee Wern
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemain skuasy nombor satu negara, Low Wee Wern yang kini menduduki ranking ke-24 dunia, mensasarkan untuk naik sehingga ke ranking ke-15 dunia tahun hadapan.

Beliau pernah menduduki ranking kelima terbaik dunia pada tahun 2014 sebelum jatuh ke ranking di bawah 250, akibat tidak menyertai mana-mana kejohanan selama 22 bulan pada tahun 2016 hingga 2018 kerana mengalami kecederaan ligamen lutut (ACL) beberapa kali.

Pemain berusia 29 tahun itu telah menjalani tiga pembedahan lutut tiga kali dengan kali pertama pada 2015, dan diikuti dua lagi pembedahan pada 2016 dan 2017.

Namun selepas berjaya mengatasi masalah tekanan secara mental dan juga fizikal, pemain dari Pulau Pinang itu berjaya melakukan sesuatu yang amat dinantikan ramai, iaitu kembali ke gelanggang, pada Kejohanan Skuasy Kebangsaan, pada Julai tahun lepas.

Wee Wern cemerlang dan berjaya menduduki ranking ke-24 dunia dan nombor satu negara, selepas ketiadaan ratu skuasy negara Datuk Nicol David yang bersara, dengan memenangi antaranya Terbuka Australia, Terbuka Q (Queensland) dan Terbuka Singapura untuk musim 2018/19.

Selepas tidak memenangi apa-apa gelaran dalam musim 2019/20 selain Terbuka Kebangsaan pada Julai tahun ini, Wee Wern kini mensasarkan untuk menduduki kedudukan terbaik 15 elit dunia, sebelum musim ini berakhir Julai 2020.

“Saya berharap saya akan dapat menduduki ranking 15 terbaik, saya perlu bermain lebih banyak kejohanan tahun hadapan. Untuk kembali selepas kecederaan bukanlah sesuatu yang mudah dan saya telah menjalani tiga pembedahan dalam karier saya.

"Ramai yang sangka saya tidak akan bermain skuasy semula, tetapi saya kini kembali ke gelanggang dan berjaya menduduki kedudukan ke-24 terbaik dunia.

Artikel Berkaitan:

“Tentunya dari semasa ke semasa akan ada kesilapan, jadi saya belajar bagaimana untuk hadapinya dan mencuba untuk lakukan yang terbaik. Ya, ada masanya yang saya amat kecewa, saya masih ingat selepas pembedahan kedua, hampir dua tahun saya tidak boleh beraksi dan tidak boleh berjalan selama enam minggu.

“Untuk bermula semua dengan mengembalikan stamina dari belajar untuk berjalan, joging dan kemudian kembali ke gelanggang, sebenarnya adalah satu proses yang panjang dan akan ada masa yang mengecewakan. Mungkin saya tidak bermain skuasy level tinggi seperti yang patut saya bermain ketika saya boleh (sebelum ini), jadi kini saya cuba nikmati permainan lebih lagi dan tidak mengambil mudah terhadapnya seperti sebelum ini,” katanya.

Selepas memenangi dua pingat emas dalam acara berpasukan di Sukan Asia 2010 dan 2014, sasaran utama Wee Wern ialah untuk memenangi pingat emas acara perseorangan Sukan Asia, memenangi pingat di Sukan Komanwel dan mencapai ranking kelima terbaik dunia, sebelum bersara.

Wee Wern juga yakin, pasukan wanita kebangsaan yang terdiri daripada pemain nombor ke-32 dunia S. Sivasangari dan Rachel Arnold (43), kini lebih kuat dan seimbang, untuk menghadapi dua acara utama berpasukan yang akan diadakan di Malaysia tahun hadapan, Kejohanan Berpasukan Asia dari 25-29 Mac dan Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia Persekutuan Skuasy Dunia dari 12-20 Disember.- Bernama