'Jangan tamatkan elaun kritikal'

Dr Azman
Dr Azman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim merayu kerajaan supaya tidak menamatkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK).

Dr Azman berkata, pemberian elaun tersebut memberi makna besar bagi doktor dan pengamal perubatan.

"Saya masuk kerja di Jabatan Kesihatan Terengganu akhir tahun 1999. Ketika itu doktor gigi tiada Elaun Kritikal berbanding doktor perubatan yang terima RM500. Jururawat pun ada Elaun Kritikal. Gaji bersih seorang doktor gigi yang baru berkhidmat seperti saya hanya sekitar RM1,780 lebih dengan ansuran bulanan kereta RM600.

"Bayangkan masa kerja di Hospital Besut, kita perlu juga ke klinik kesihatan di daerah lain dengan jumlah rawatan pesakit luar antara 80 hingga 100 pesakit sebelah pagi.

"Di bawah saya ada Perkhidmatan Pergigian Sekolah yang melibatkan 16 sekolah menengah dan lebih 20 sekolah rendah. Sampai ke Sekolah Kebangsaan Keruak Hulu Besut saya pergi rawat gigi murid-murid. Ada ketikanya kita bertugas bersedia untuk panggilan di luar waktu pejabat selama 30 hari sebulan.

"Inilah suka duka doktor. Sebelum menamatkan perkhidmatan kerajaan pada pertengahan 2003, dapatlah rasa sikit Elaun Perkhidmatan Kritikal dengan jumlah RM100 lebih sebulan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Azman berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak perlu berbalas kenyataan di media sosial berhubung isu penamatan BIPK.

Katanya, masih belum terlambat untuk memperbetulkan keadaan memandangkan keputusan itu tidak disukai rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Saya rasa menteri dan pimpinan kerajaan PH tak perlu berbalas kenyataan di laman Twitter dan Facebook untuk jadi hero bila sedar keputusan itu tak popular dan mendapat bantahan rakyat.

"Kuasa di tangan anda. Macam atas jalan raya juga ada tempat dibenarkan 'u-turn'. Jangan malu-malu. Belum terlambat untuk memperbaiki keadaan," katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Suhaime Mahbar berkata, pemansuhan elaun tersebut bagi 33 skim perkhidmatan bukan kerana skim perkhidmatan terbabit tidak penting tetapi ia tidak lagi menepati kriteria tertentu pemberian elaun itu.