Lelaki bogel serang polis depan masjid

Kejadian lelaki kurang siuman mengamuk dalam keadaan bogel dan bersenjatakan parang di masjid negeri yang tular di media sosial hari ini.
Kejadian lelaki kurang siuman mengamuk dalam keadaan bogel dan bersenjatakan parang di masjid negeri yang tular di media sosial hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki kurang siuman yang berbogel bertindak agresif menyerang anggota polis ketika cuba ditahan selepas mengamuk di hadapan Masjid Negeri, Sultan Ahmad Shah 1 di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, lelaki berusia lingkungan 40-an yang bersenjatakan parang itu bertindak melibas senjata tajam itu ke arah anggota polis berkenaan dan terkena bahagian kepala dan lengan.

Bagaimanapun anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) berusia 29 tahun itu bernasib baik hanya cedera ringan apabila parang itu hanya terkena topi keledar yang dipakai.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, suspek kemudiannya melarikan diri hampir satu kilometer sebelum berjaya ditahan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini.

Menurutnya, suspek sempat membuang parang yang dibawa ke dalam sungai sebelum ditahan.

Lelaki kurang siuman mengamuk dalam keadaan bogel.
Lelaki kurang siuman mengamuk dalam keadaan bogel.

"Suspek yang ditahan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan dan dirawat di zon merah," katanya.

Mohd Noor berkata, sebelum itu pihaknya bertindak menghantar anggota polis selepas menerima aduan berhubung tindakan lelaki itu yang membawa parang berada dalam keadaan mencurigakan berhampiran jejantas di Jalan Besar.

Artikel Berkaitan:

"Suspek ketika itu dilihat mengetuk besi jejantas dengan parang dibawa sebelum berlari menghala ke Masjid Negeri dan cuba mencederakan diri sendiri," katanya.

Aksi lelaki kurang siuman yang mengamuk itu tular selepas video kejadian dikongsi melalui Facebook Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 sebelum dikongsi netizen.