Lelaki diugut, diikat suami 'kekasih gelap'

Gambar kecil: Razmi
Gambar kecil: Razmi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Padah berkawan dengan isteri orang, seorang lelaki diugut sehingga kerugian RM1,000 selepas hubungan mereka diketahui suami wanita tersebut.

Tidak cukup dengan itu, mangsa berusia 25 tahun turut diikat selain dipaksa mengaku mahu merogol wanita berkenaan sebelum pengakuan tersebut dirakam.

Menurut sumber, kejadian bermula apabila suami wanita itu menghubungi mangsa memintanya datang ke rumah mereka untuk berbincang kira-kira jam 5 pagi Jumaat lalu.

Kata sumber, sebaik tiba di rumah pasangan berkenaan, mangsa meminta maaf kerana menjalinkan hubungan dengan isteri suspek selama ini.

"Bagaimanapun suspek yang berusia 20-an mengikat tangan mangsa pada kerusi menggunakan tali.

"Tanpa menghiraukan rayuan mangsa yang minta dilepaskan, suspek terus bertindak menumbuk dan membelasah lelaki berkenaan bertubi-tubi.

"Masih tidak berpuas hati, suspek memaksa mangsa menyerahkan telefon bimbit dan beberapa barangan berharga termasuk wang tunai RM50," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas sumber, tidak cukup dengan itu, suspek juga mendesak mangsa menyerahkan wang RM200.

Artikel Berkaitan:

"Bengang kerana permintaannya tidak diendahkan, suspek kemudian memaksa mangsa membuat pengakuan datang ke rumah itu untuk merogol isterinya sebelum merakamnya," katanya.

Kata sumber, dua hari kemudian iaitu kira-kira jam 6 petang, sekali lagi mangsa diganggu suspek yang datang ke tempat kerjanya bersama dua rakan sebelum meminta wang RM200.

"Bagaimanapun mangsa hanya memberikan RM45 dengan memberi alasan tiada wang. Suspek masih tidak berpuas hati dan meminta wang RM50 lalu berjanji akan menyerahkan semula barang berharga yang diambil sebelum ini," katanya.

Berikutan kejadian tersebut, mangsa yang bimbang keselamatan dirinya membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Jelasnya, suspek kini sedang diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.