'Janji PRU14 pun belum tunai, PH buat pula masalah lain'

Orang ramai bersalaman dengan Mohd Amar (kanan) selepas tamat sesi kuliah Kuliah Jumaat di Medan Ilmu di sini hari ini.
Orang ramai bersalaman dengan Mohd Amar (kanan) selepas tamat sesi kuliah Kuliah Jumaat di Medan Ilmu di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Persekutuan perlu membuat semakan semula melibatkan isu pemansuhan elaun penjawat awam terutama Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) kepada pekerja baharu dalam sektor kesihatan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya mengekalkan elaun tersebut, namun dalam masa yang sama mencari jalan untuk mengurangkan harga barang supaya semuanya menjadi seimbang.

"Pada pandangan saya, dalam keadaan ekonomi sekarang, barang pun mahal, kenapa perlu dipotong elaun tersebut. Janji yang lepas (PRU14) pun belum ditunaikan, buat pula masalah lain.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku tidak kiralah elaun apa sekali pun, kerajaan tidak boleh bertindak demikian. Ia memberi kesan menyeluruh kepada masyarakat walaupun khususnya hanya mereka yang terlibat sahaja terkesan," katanya kepada Sinar Harian selepas menyampaikan Kuliah Jumaat di Medan Ilmu di sinI semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung pemansuhan BIPK melibatkan lantikan mulai 1 Januari ini.

Mohd Amar berkata, walaupun pemansuhan elaun BIPK melibatkan kakitangan yang baharu berkhidmat, namun ia tetap tidak relevan memandangkan mereka yang baru sahaja mendapat kerja ini yang sepatutnya dibantu.

"Kerajaan perlu semak semula dan cari jalan untuk kurangkan bebanan kakitangan awam ini. Lihat semula dan bincangkan. Saya pun pelik sebab ada di antara menteri yang tidak setuju. Macam mereka ini tidak wujud dalam Kabinet.

"Jadi maknanya perkara ini perlu dibincangkan kembali. Perkara ini besar, bukan hal kecil. Kenapa ia tidak dibincangkan secara baik. Ambil pakai semua pandangan supaya kita boleh keluarkan satu jawapan yang boleh diterima rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan: