Tergamak tumbuk, pukul ayah hingga cedera

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA NERUS - Gara-gara tidak berpuas hati dengan adik-beradik lain, seorang anak tergamak menumbuk muka dan memukul seluruh anggota badan bapanya hingga cedera dalam kejadian di rumah mereka di Tepoh, di sini Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, lelaki berusia 28 tahun itu dikatakan mengamuk secara tiba-tiba dengan bertindak membaling barang-barang di dalam rumah termasuk barang-barang kaca.

Menurut sumber, ketika kejadian hanya dua beranak itu berada di rumah dan risau perkara tidak diingini berlaku, mangsa berusia 60-an cuba memujuk suspek supaya bertenang sebelum mengajak anak lelakinya itu berbincang dengan cara baik.

Bagaimanapun kata sumber, pujukan mangsa menyebabkan suspek makin 'panas' dan bertindak lebih agresif dengan memukul seluruh badan serta menumbuk muka bapanya tanpa belas simpati.

"Melihatkan keadaan mangsa yang begitu lemah kerana menahan kesakitan, suspek terus melarikan diri sebelum warga emas itu menghubungi salah seorang anak lelakinya bagi mendapatkan bantuan.

"Akibat perbuatan itu, mangsa mengalami kecederaan dan sakit di seluruh anggota badan termasuk muka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber berkata, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit di sini bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.