Gakum kesal kerajaan mansuh BIPK

 Zulkifli Mohamed
Zulkifli Mohamed
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Awam Malaysia (Gakum) kesal apabila kerajaan bertindak memansuhkan elaun Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) terhadap 33 perjawatan yang kritikal.

Presiden Gakum, Zulkifli Mohamed berkata, kerajaan sepatutnya bertindak menaikkan elaun BIPK mengikut keperluan dan kesesuaian semasa, bukan memansuhkannya untuk lantikan baharu tahun 2020.

Menurutnya, langkah tersebut disifatkan terkebelakang dan tindakan itu dilihat akan mewujudkan diskriminasi serta melemahkan semangat bekerja kepada penjawat awam yang akan berkhidmat dan yang telah berkhidmat.

"Ia juga tidak selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan belia apabila pendapatan penjawat awam yang baru masuk tidak menerima elaun seperti mana yang telah berkhidmat sebelum tahun 2020.

"Seperti yang kita sedia maklum, sektor ini kritikal bukan hanya tentang jawatannya tetapi tentang perkhidmatan yang diberikan sebagai contoh, jururawat yang bertugas bukan sahaja syif tetapi berhubung kait dengan risiko penyakit yang mungkin berjangkit, manakala bagi sektor pendidikan pula seperti pensyarah farmasi terlibat dengan bahan ubat-ubatan serta dengan tempoh masa kajian yang tidak dijangka.

"Sektor ini amat rapat dengan rakyat, maka mereka akan lebih mudah menjadi tertekan apabila beban kerja yang ditanggung ibarat tidak diendahkan oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dari segi ekonomi pula katanya, golongan berkenaan akan kurang berbelanja kerana kos sara hidup semakin tinggi lantas membantutkan kerancakan ekonomi negara yang akan memberikan kesan negatif berganda kepada kerajaan.

Sehubungan itu beliau berkata, Gakum menyokong penuh kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat agar pihak kerajaan mengkaji semula dan melakukan 'engagement' serta perbincangan dengan Cuepacs yang merupakan payung kepada 1.6 juta penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

Rabu lalu, Cuepacs dalam satu kenyataan medianya tidak bersetuju dengan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) bermula 1 Januari depan.

Menyifatkannya sebagai langkah terbelakang dibuat kerajaan sedangkan negara berada di landasan betul untuk Malaysia Maju 2025, Presidennya, Adnan Mat berkata, BIPK sudah sekian lama diterima kumpulan penjawat awam terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Mansuh BIPK langkah terkebelakang: Cuepacs