Kurang nutrisi cabaran buat si kecil

Tidak dapat khasiat susu, gagal capai berat tubuh ideal

DARI kiri, Bee Koon, Hidayatul Fathi, Suzana, Panam, Tarang dan Siti Balkis selepas majlis menandatangani MOU baru-baru ini.
DARI kiri, Bee Koon, Hidayatul Fathi, Suzana, Panam, Tarang dan Siti Balkis selepas majlis menandatangani MOU baru-baru ini.
A
A
A

KANAK-KANAK di Malaysia dikatakan lebih cenderung mengambil makanan yang mempunyai kurang nutrisi.

Penyelidik utama bagi Kajian Nutrisi Asia Tenggara I (SEANUTS I) di Malaysia, Prof Dr Poh Bee Koon percaya bahawa kanak-kanak rantau ini, terutama di Malaysia, masih terkesan dengan tabiat pemakanan sedemikian.

Walaupun kajian SEANUTS I telah selesai pada tahun 2011, kanak-kanak tempatan dan di rantau ini didapati masih belum mendapat nutrisi yang cukup dalam diet mereka.

"Penemuan menunjukkan bahawa secara purata kanak-kanak Malaysia hanya minum setengah hidangan susu setiap hari lebih membimbangkan.

"Hanya lima peratus kanak-kanak sebenarnya minum dua hidangan susu setiap hari, iaitu jumlah yang disarankan untuk membantu mereka mendapatkan keperluan harian kalsium dan vitamin D," kata Bee Koon yang juga Pengerusi Pusat Kesihatan Masyarakat, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara FrieslandCampina dengan UKM baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Dekan Rangkaian dan Generasi Pendapatan, UKM, Prof Dr Hidayatul Fathi Othman; Dekan, Fakulti Sains Kesihatan, UKM, Prof Dr Suzana Shahar; Pakar Utama, Pembangunan dan Pemakanan Global, Penyelaras FC & Program SEANUTS I & II, Dr Panam Parikh; Pengarah Urusan Dutch Lady Milk Industries Berhad, Tarang Gupt dan Timbalan Dekan, Penyelidikan dan Inovasi, UKM, Prof Dr Siti Balkis Budin.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani kerjasama antara syarikat induk Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) FrieslandCampina dan UKM bagi merasmikan permulaan SEANUTS II.

Dalam pada itu, Bee Koon berkata, tinjauan di Malaysia menunjukkan seorang daripada lima orang kanak-kanak mempunyai berat badan berlebihan atau obes dan hampir seorang daripada 10 kanak-kanak terbantut.

Seorang dalam 20 kanak-kanak pula mempunyai masalah kurang berat badan.

Artikel Berkaitan:


Hampir separuh daripada kanak-kanak tidak mendapat vitamin D dan kalsium yang mencukupi, sementara sebahagian besar kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun adalah tidak aktif secara fizikal.

Justeru, beliau juga menyarankan agar tabiat minum susu sebagai sebahagian amalan sarapan pagi sebagai salah satu cara untuk meningkatkan tahap nutrisi kanak-kanak Malaysia.

Oleh kerana masalah kekurangan zat makanan yang teruk di rantau ini, kaji selidik tersebut akan memberi tumpuan tambahan untuk mendapatkan pemahaman mengenai penggunaan protein dan khasiat.

Itu kerana protein adalah zat asas yang kritikal untuk pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.

Keputusan dijangka diperoleh pada 2021 dan akan digunakan untuk membangunkan kaedah campur tangan khusus sesebuah negara, memperkukuhkan pengetahuan saintifik dan menyokong dasar kerajaan.