Bebaskan negara sentimen rasisme

No Image Caption
A
A
A

PENGENALAN pengajian tulisan Jawi di sekolah rendah vernakular adalah usaha yang baik dan mampu memperkenalkan asas budaya dan keindahan dalam seni jawi yang amat bermakna dalam negara kita.

Namun apa yang dilihat, usaha itu seolah-olah tidak beri makna kepada Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Pertubuhan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) kerana membantah penggunaan tulisan jawi dan mahu menganjurkan kongres pada 28 Disember ini.

Penulis merasakan penganjuran kongres ini bukan sahaja mengeruhkan keadaan yang dilihat tegang tetapi menggugat kemakmuran sedia ada.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ada mengatakan kerajaan tidak pernah membantah penggunaan penulisan dalam Bahasa Cina di negara ini dan sewajarnya pihak satu lagi berbuat demikian.

Beliau juga bimbang tindakan Dong Zong itu akan menyebabkan pihak tertentu bertindak balas.

"Jika mereka mahu buat sesuatu yang sangat Cina, tindak balas orang Melayu akan sangat Melayu, (termasuk) meminta sekolah-sekolah Cina ini ditutup.

“Kamu melakukan perkara seumpama itu dan kamu akan mendapat reaksinya,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 baru-baru ini.

Dr Mahathir berkata, walaupun negara ini menghormati kebebasan bersuara tetapi ia tidak boleh disalahgunakan sewenang-wenangnya.

Artikel Berkaitan:

“Anda mula menyerang kaum lain atau melakukan sesuatu yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Hasilnya adalah ketidakstabilan dan kacau-bilau, ramai orang akan menjadi miskin dan akhirnya pergi meninggalkan negara ini,” katanya.

Jika benar berlaku perkara sedemikian, rakyat berhijrah ke negara lain, ia mengingatkan penulis tentang filem IP Man 4: The Finale yang ditayangkan baru-baru ini.

Masih lagi membawa tema semangat nasionalis, filem ini juga membawa elemen rasisme yang berlaku di mana-mana sahaja. Seperti tertampar juga melihat filem ini dengan situasi yang berlaku di Malaysia sekarang.

Manakan tidak, isu perkauman, isu tulisan jawi masih menjadi topik hangat negara sejak akhir-akhir ini.

Secara ringkasnya filem itu mengisahkan mengenai perjuangan komuniti Cina menetap di Amerika Syarikat dan berdepan situasi perkauman yang meruncing dengan penduduk tempatan hingga mencetuskan perbalahan.

IP Man lakonan Donnie Yen merasa berkecil hati apabila menyaksikan bagaimana masyarakat kulit putih telah mengamalkan sikap rasisme terhadap komuniti Cina yang mereka gelar sebagai pendatang.

Donnie Yen pertahankan kung fu di negara itu namun akhirnya mengakui bahawa hujan batu di negara sendiri adalah lebih baik daripada hujan emas di negara orang.

Jika benar bibit-bibit perpecahan jelas terukir, maka sedarlah kita berpijak di tanah tumpahnya darah kita. Siapa lagi mahu berdiri teguh perjuangkan negara ini jika bukan kita, masyarakat dari pelbagai bangsa.

Jangan ditegangkan lagi tali yang sedia tegang kerana lama kelamaan ia boleh putus, menjauhkan jurang kesaksamaan, kekitaan dan merosakkan keharmonian.

Negara ini perlu dijaga, dipelihara dari anasir-anasir negatif yang boleh mencetuskan perbalahan, pertelingkahan hanya kerana isu tulisan jawi yang azali telah dipraktikkan dalam silibus pendidikan.

Warisan dan identiti negara

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam satu wawancara bersama sebuah portal menegaskan langkah kementerian itu memperkenal tulisan jawi dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Darjah 4 bukannya bertujuan mewujudkan proses Islamisasi di sekolah vernakular.

Ujarnya, masyarakat sewajarnya tidak harus melihat pengenalan jawi sebagai suatu bentuk asimilasi budaya sebaliknya sebagai usaha untuk mengenali warisan dan identiti negara. Seterusnya, kerajaan juga tidak mengarahkan pembelajaran tulisan jawi secara menyeluruh, malah ia turut tidak dimasukkan dalam mana-mana peperiksaan.

Justeru itu, kenapa Dong Zong masih lagi tegar untuk menghapuskan tulisan jawi dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Darjah Empat?

Sedangkan kata Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi, silibus pelajaran tulisan jawi hanya melibatkan beberapa helai muka surat bukan semua pengajiannya dalam tulisan jawi.

"Apakah dengan belajar seni tulisan jawi, murid akan lupa tulisan dan bahasa ibunda mereka?" katanya.

Malah, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mendedahkan bahawa beliau sendiri pernah mempelajari sendiri tulisan jawi semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1969.

Jelasnya, usaha beliau mempelajari tulisan tersebut tidak menjadikan beliau 'kurang Cina' sebaliknya mengukuhkan jati dirinya sebagai seorang rakyat Malaysia.

Beliau juga mengakui mempelajari tulisan jawi tidak mengkhianati kaum, bangsa dan budaya Cina.

Maka sempena tahun baharu bakal tiba, penulis mengajak rakyat bebaskan sentimen rasisme kerana jika perbalahan berterusan, sejarah 13 Mei bakal berulang, ke mana kita mahu berhijrah?

*Syairah Abdul Lajis ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Online