Tuisyen percuma sejak 2014

Kelas tuisyen percuma yang dijalankan pada tahun lepas menerima peserta dan sukarelawan tenaga pengajar daripada pelbagai kaum.
Kelas tuisyen percuma yang dijalankan pada tahun lepas menerima peserta dan sukarelawan tenaga pengajar daripada pelbagai kaum.
A
A
A

KUALA MUDA - Seramai 350 kanak-kanak dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana sekitar bandar ini berjaya menamatkan Projek Didik yang memberi perkhidmatan tuisyen percuma sejak 2014.

Exco Kerajaan Negeri merangkap Adun Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min yang menganjurkan tuisyen itu berkata, bagi mengelakkan berlakunya keciciran pelajaran terhadap golongan berkenaan, kelas tuisyen percuma itu tetap diteruskan, malah dinaik taraf ke arah lebih baik pada 2019.

Menurutnya, selain memberi peluang kepada mereka mengikuti pembelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik sebagai persediaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), pihaknya kini telah memperluaskan skop termasuk menyediakan tuisyen kepada pelajar sekolah menengah.

“Sebelum ini hanya calon UPSR sahaja ada kelas tuisyen tetapi bagi tahun 2019, kita turut membuka ruang kepada calon peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tahun 2018 sahaja, seramai 80 kanak-kanak telah berjaya mengikuti kelas tuisyen terbabit yang dijalankan di Taman Keladi.

Menurutnya, ia bertujuan meningkatkan taraf pendidikan anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana sekaligus mengubah masa depan golongan berkenaan.

“Lebih unik dan istimewa, tuisyen percuma telah disertai peserta dan sukarelawan tenaga pengajar dari pelbagai kaum dan agama.

“Dengan ini, ia bukan sahaja memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat, namun mewujudkan persefahaman antara satu sama lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, katanya, Projek Didik 2019 bakal dimulakan tidak lama lagi dengan sesi pendaftaran dibuat pada Rabu, 9 Januari (hari ini) bertempat di Pusat Komuniti Adun Bakar Arang, Medan Selera Taman Keladi (tepi masjid) jam 8 malam.

Beliau berazam agar perkhidmatan itu akan terus berjalan lancar dengan lebih banyak penambahbaikan selain penglibatan tenaga pengajar berpengalaman dan berkemahiran bagi menyampaikan ilmu bermanfaat kepada generasi muda.

“Kita juga mengharapkan penduduk sekitar akan memanfaatkan penganjuran ini sekaligus mampu meningkatkan taraf pendidikan serta menjamin masa depan yang lebih baik dengan pendidikan,” katanya.