X

Kindly register in order to view this article
!

Memahami demo rakyat

A
A

MENJELANG tertutupnya tirai 2019, beberapa negara di dunia kini digoncang kuat oleh demonstrasi rakyat.

Bagi yang mengikuti perkembangan dunia, agak kebingungan menganalisa tercetusnya beberapa zon panas politik dunia. Satu demi satu negara mengalami pergolakan yang mengoncangkan pemerintahan sehingga berlaku pengunduran diri seorang demi seorang Perdana Menteri dan Presiden, malah berubahnya satu demi satu kerajaan.

Sejak 2011, rantau Asia Barat menyaksi kebangkitan rakyat yang menggoncang negara bermula Tunisia, dikuti Mesir, Libya, Syria, Yemen dan Bahrain. Kini Lebanon, Iraq dan Iran bergolak. Semuanya bertitik tolak daripada fakta bahawa rakyat tidak lagi dapat menerima pemerintah yang korup dan kekayaan negara disalah urus oleh pemimpin yang berciri diktator.

Di barat, negara di Latin Amerika seperti Chile, Bolivia, Venezuala, Mexico dan Brazil, rakyat berdemonstrasi kerana isu kerajaan yang korup dan negara berdepan krisis ekonomi yang parah. Isu pengangguran, harga barangan melambung, rejim percukaian yang melonjak serta kemusnahan kualiti alam sekitar menjadi slogan rakyat yang dibawa dalam demonstrasi.

Demikian berlaku demonstrasi di Perancis, Itali dan UK kerana membantah dasar yang diumum oleh kerajaan. Di Perancis kerana isu skim pencen, di UK isu Brexit dan di Itali isu anti fasis.

Malah di Amerika Syarikat juga rakyat turun ke jalanan akibat krisis keganasan ke atas rakyat kulit hitam. AS menjadi negara paling berbahaya akibat penggunaan senjata api yang berleluasa.

Di Asia Selatan, isu Kashmir mencetuskan kemarahan rakyat ke atas dasar India yang memansuh status istimewa Kashmir melalui gugurnya Artikel 370 dan 35A dalam perlembagaan India. Hampir 13,000 orang anak muda Kashmir ditangkap oleh tentera India kerana mereka berdemonstrasi di kota Srinagar dan Jammu.

Kini rakyat India pula turun ke jalanan kerana memprotes pindaan Akta Kerakyatan yang bersifat anti Muslim. Di wilayah Assam beberapa warga terbunuh dan ratusan tercedera bila demonstrasi rakyat berdepan dengan tentera dan polis kerana isu penolakan kerakyatan hampir 2 juta warga Muslim.

Sebagai tambahan India juga dilanda budaya keganasan dan jenayah pemerkosaan ke atas wanita. Demonstrasi membantah kerajaan yang tidak bersungguh menangani isu ini mengundang kemarahan rakyat.

Tidak terlepas di Indonesia, demo jalanan pasca pemilu Presiden hampir mencetus keganasan di luar kawalan di Jakarta. Demikian juga terkini tiba-tiba di Thailand, Parti Masa Depan mengumpul puluhan ribu berdemonstrasi di kota Bangkok.

Yang sekarang menarik perhatian dunia adalah demonstrasi di Hong Kong. Ia kini melarat lebih enam bulan dan kota metropolitan itu sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang negatif akibat demonstrasi jalanan yang berlarutan.

Ada demonstrasi yang bertukar menjadi ganas apabila rejim pemerintah mengguna kekerasan melalui tindakan tentera dan polis.

Ada demonstrasi yang berakhir dengan pemimpin melarikan diri dan juga yang ditangkap dan dibunuh oleh rakyat sendiri. Ada juga pemimpin yang ditahan didakwa di mahkamah atas tuduhan mensonglap wang negara dan kerana dipertanggungjawabkan ke atas kekerasan terhadap rakyat.

Oleh kerana rakyat kehilangan kesabaran, akhirnya rakyat menggunakan keberanian untuk keluar ke jalanan dan menuntut peletakan jawatan pemimpin negara dan pertukaran kerajaan. Terdapat negara bergolak ke tahap tercetusnya rusuhan dan anarki.

Soalnya kenapa gejala demonstrasi menjadi-jadi? Tidak puas hati atau membantah keras dalam sistem demokrasi adalah normal dan sah (legitimate). Tetapi bila bertukar menjadi ganas, negara bakal berisiko ketegangan yang berbahaya.

Biasanya berdemonstrasi bermula dari sebuah isu, kemudian dipanaskan melalui tuntutan dan akhirnya perarakan dan perhimpunan.

Keghairahan untuk berdemonstrasi tidak harus menjadi tabiat setiap kali menangani sesuatu isu. Rasional untuk berdemonstrasi harus menimbangkan impak yang hendak dicapai.

Dunia tidak nampak semakin reda. Malah sebaliknya konflik bertambah getir. Kredibiliti pemimpin-pemimpin dunia kini sedang dinilai oleh rakyat masing-masing negara.

Kini perjuangan untuk kebebasan sangat mudah merebak apabila kerajaan mengguna kaedah kuku besi. Kerajaan yang tidak peka dengan keresahan rakyat akan berdepan dengan kebangkitan rakyat di jalan raya. Apatah lagi sebuah kerajaan yang merampas dan menafi hak rakyat.

Apa yang sering dikhuatiri ialah apabila kebangkitan rakyat dicemari dengan keganasan. Sementara kerajaan perlu bijak mendengar tuntutan rakyat, kerajaan harus mengelak dari mengguna kekerasan yang sering menambah amarah rakyat.

Demonstrasi akan terus menjadi pendekatan rakyat jika kerajaan memekakkan telinga dan membutakan mata. Zaman ini adalah zaman dunia semakin terbuka. Kerajaan tidak lagi boleh merasa kaedah dari atas ke bawah boleh menyelesaikan keresahan rakyat. Pendekatan dari bawah ke atas harus menjadi pilihan sebagai alternatif.

*Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!