Perluas kempen kitar semula minyak masak di IPT

Loy Sian (kiri) dan Muhamad Zikril menanam Pokok Ru Pantai (Casuarina Wquisetifolia) sempena Program Kelestarian Alam Sekitar baru-baru ini.
Loy Sian (kiri) dan Muhamad Zikril menanam Pokok Ru Pantai (Casuarina Wquisetifolia) sempena Program Kelestarian Alam Sekitar baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor akan memperluaskan Kempen Kitar Semula melibatkan produk minyak masak terpakai dalam kalangan warga institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, ia akan dilaksanakan melalui Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dan Gerakan Pengguna Daerah (GPD).

Menurutnya, sebelum ini program kitar semula minyak masak terpakai telah dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT), sekolah dan agensi kerajaan terpilih.

“Walaupun program ini telah dilaksanakan melibatkan beberapa agensi, KPDNHEP Selangor berhasrat memperluaskannya di IPTA dan IPTS,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Kempen Kelestarian Alam Sekitar anjuran bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) baru-baru ini.

Turut hadir merasmikan program itu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian.

Menurutnya, GPD dengan kerjasama PBT, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, GPS dan kerajaan negeri menyasarkan kempen ini dipergiat di semua sembilan daerah di Negeri Selangor.

Katanya, kempen akan mula dilaksanakan tahun depan melibatkan 12 PBT dan enam GPD.

Artikel Berkaitan:

“Kerjasama erat ini akan diteruskan bagi mempergiatkan program-program kesedaran dan kepenggunaan kepada segenap lapisan masyarakat di pelbagai peringkat.

“Lapisan masyarakat terlibat dalam program bermula dengan KPS (Kelab Pengguna Sekolah) yang meliputi pelajar di sekolah rendah dan menengah, GPS bagi pelajar di IPTA/IPTS, komuniti melalui GPD, media dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Menurut Muhamad Zikril, tahun ini sebanyak 24 program berjaya dilaksanakan melalui enam GPD di PKPDNHEP Negeri Selangor iaitu Petaling Jaya, Kajang, Gombak, Sepang, Kuala Selangor dan Kuala Kubu Bharu.

Sebanyak 23 program berjaya dilaksanakan oleh 14 GPS Negeri Selangor dengan penglibatan yang paling aktif oleh warga Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dalam pada itu, beliau berkata, selain program kesedaran kepenggunaan, kerajaan prihatin melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan rakyat dilindungi dari sebarang penindasan.

Penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) antara dilaksanakan dengan objektif untuk menyekat kenaikan harga yang tidak berpatutan dan mencegah amalan mencatut atau mengambil untung secara berlebihan (profiteering) dalam kalangan peniaga semasa musim perayaan.

“Penguatkuasaan ini adalah salah satu mekanisme kerajaan dalam memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup dan kenaikan harga barangan,” katanya.