Pemilik setuju rumah diroboh bagi pengukuhan tanah

Zuraida (kanan) meninjau lokasi tanah mendap di Jalan Kelab Ukay di sini hari ini.
Zuraida (kanan) meninjau lokasi tanah mendap di Jalan Kelab Ukay di sini hari ini.
A
A
A

AMPANG - Pemilik sebuah rumah di Jalan Kelab Ukay di sini bersetuju rumahnya dirobohkan bagi tujuan penstabilan tanah mendap yang berlaku awal pagi semalam.

Rumah tersebut disahkan tidak selamat diduduki selepas mengalami keretakan struktur di bahagian belakang dalam kejadian pada jam 4 pagi itu.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, perobohan itu antara cadangan awal dikemukakan pada mesyuarat teknikal bagi mencari jalan penyelesaian masalah berkenaan.

Menurutnya, sebanyak lapan rumah dikenal pasti terlibat mengalami pergerakan tanah namun skala itu dikecilkan kepada tiga unit paling hampir untuk dirobohkan.

"Melalui perobohan itu, ia mampu menyelamatkan kawasan kejiranan tersebut selepas kerja-kerja penstabilan tanah," katanya ketika melawat lokasi tanah mendap di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Datuk Abdul Hamid Hussain dan Ketua Unit Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, beliau telah meminta pemilik unit mengumpul dokumen berkaitan untuk semakan MPAJ.

"Secara prinsipnya pemilik bersetuju untuk rumahnya dirobohkan namun beberapa aspek perlu diteliti dari segi teknikal dan berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"Langkah awal melalui pemasangan plastik di lokasi terlibat bagi mengurangkan kesan pergerakan tanah sementara menunggu laporan penuh punca dan tindakan susulan.

"MPAJ telah kenal pasti konsultan dan arkitek yang terlibat dalam pembinaan rumah terlibat untuk jalankan kajian serta kemukakan laporan sebelum tindakan selanjutnya diambil," katanya.

Pada perkembangan sama katanya, beliau telah meminta MPAJ menyediakan pelan jangka masa panjang melibatkan perancangan pembangunan holistik bagi kawasan tanah cerun terutama di Ampang yang merupakan kawasan utama tanah runtuh.