KDEB sedia 56 lori kompaktor di kawasan MBSA

Sze Han (dua dari kiri) meninjau lori kompaktor KDEBWM yang akan memulakan operasi pengurusan sisa domestik di kawasan pentadbiran MBSA bermula 1 Januari depan.
Sze Han (dua dari kiri) meninjau lori kompaktor KDEBWM yang akan memulakan operasi pengurusan sisa domestik di kawasan pentadbiran MBSA bermula 1 Januari depan.
A
A
A

SHAH ALAM - KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) menyediakan sebanyak 56 lori kompaktor berteknologi tinggi bagi menjalankan kerja-kerja pengurusan sisa sampah domestik di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula 1 Januari tahun hadapan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, sebelum ini, pengurusan sisa domestik di Shah Alam diuruskan oleh syarikat kontraktor individu dan telah menimbulkan beberapa isu antaranya lori uzur, bau busuk dan sebagainya.

"Melalui pengambilalihan oleh KDEBWM tersebut, pihaknya yakin pengurusan sampah di kawasan bandar raya Shah Alam dan negeri Selangor akan lebih teratur serta berada dalam keadaan bersih.

"KDEBWM bukan hanya menguruskan sampah domestik buat MBSA namun turut melibatkan seluruh 12 pihak berkuasa tempatan di Selangor," katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Lori Kompaktor KDEBWM yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini.

Hadir sama, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan; Pengerusi KDEBWM, YM Raja Shahreen Raja Othman dan Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir.

Menurutnya, pergerakan setiap lori itu dipantau melalui penggunaan Vehicle Monitoring System (VMS) secara berpusat di Centralized Command Center (CCC) yang berada di Ibu Pejabat KDEBWM, Shah Alam.

Sze Han (tujuh dari kiri) membuat pelepasan lori kompaktor sebagai gimik pelancaran penyerahan tersebut
Sze Han (tujuh dari kiri) membuat pelepasan lori kompaktor sebagai gimik pelancaran penyerahan tersebut

"Malah lori kompektor ini turut dilengkapi dengan beberapa kemudahan lain seperti kamera dan Sistem Pengesanan Global (GPS) untuk memudahkan operasi pengurusan sampah domestik selepas ini.

Artikel Berkaitan:

"Operasi bagi pengurusan pembersihan awam di kawasan pentadbiran MBSA juga akan diberikan kepada KDEBWM bermula 1 Julai 2020 akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rashidi berkata, MBSA percaya KDEBWM mampu melaksanakan tugas dengan baik dalam memastikan kutipan sampah domestik di bandar raya Shah Alam dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"Sehingga 19 Disember tahun ini, sebanyak 3,022 aduan kutipan sampah telah diterima dan 1,618 daripadanya melibatkan kutipan sampah domestik.

"Di bawah pengurusan KDEBWM, saya percaya kutipan sampah domestik ini akan dapat diselaraskan dengan lebih baik," katanya.