Keputusan MSN perkenal tanda harga AMD adalah wajar

Laporan Sinar Harian sebelum ini. Gambar kecil: Richard
Laporan Sinar Harian sebelum ini. Gambar kecil: Richard
A
A
A

KEPUTUSAN Majlis Sukan Negara (MSN) mengenakan ‘tanda harga’ kepada mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang berminat mendapatkan pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) adalah satu keputusan wajar memandangkan MSN telah membuat pelaburan besar dalam AMD, kata Pendidik Jurulatih dan Pencari Bakat Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Datuk Richard Scully.

Beliau berkata perkara berkenaan sepatutnya dilaksanakan pada musim ini, namun terpaksa ditangguhkan ke musim depan susulan beberapa isu berbangkit yang ditimbulkan segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan ‘tanda harga’ berkenaan.

“Saya rasa betul, dah sampai masa kita meletakkan tanda harga kepada pemain-pemain yang berada di dalam Akademi Mokhtar Dahari kerana mereka berada dalam satu generasi (untuk tempoh) lima tahun,” katanya ketika ditemui pemberita sempena sambutan Hari Krismas di kediamannya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Scully yang merupakan bekas penjaga gol kebangsaan mendedahkan, pihak AMD, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dan MSN sedang memperhalus mekanisma sesuai untuk pelaksanaan ‘tanda harga’ berkenaan supaya tidak membebankan pasukan Liga-M yang berminat mendapatkan bekas pemain AMD selepas ini.

Ditanya mengenai kenyataan pengendali Selangor, B. Sathianathan yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan ‘tanda harga’, Scully menegaskan ia merupakan pandangan peribadi Sathia sendiri, namun menegaskan perkara itu tetap akan diteruskan terutama dalam menjaga kebajikan pemain berkenaan setelah mereka keluar daripada AMD.

“Tidak semestinya pemain senior sahaja boleh diletakkan tanda harga, pemain di Eropah yang berusia di antara 14 sehingga 15 tahun sudah diikat dari segi klausa supaya mereka dapat berkhidmat dengan sesebuah kelab berkenaan pada jangka masa panjang,” jelas Scully.

Pada masa sama, beliau menegaskan keputusan pasukan Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) membeli kumpulan pertama lepasan AMD pada musim ini mampu memberikan saingan sihat di kalangan pemain sedia ada dalam kedua-dua pasukan berkenaan.

Selangor dilaporkan ‘memborong’ 28 pemain AMD, manakala JDT berjaya mendapatkan khidmat 6 pemain AMD.

Artikel Berkaitan:

Ahad lepas, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengesahkan mana-mana kelab bola sepak yang berminat mendapatkan khidmat pelatih AMD akan dikenakan 'tanda harga’ sebagai insentif dalam bentuk pampasan kepada akademi berkenaan.

Perkembangan itu mendapat pelbagai reaksi, khususnya pasukan yang berhasrat mendapatkan pelatih AMD apabila perlu membayar pampasan bermula serendah USD2,000 (RM8,280) untuk satu-satu pemain selaras dengan garis panduan ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). - Bernama