Keputusan bijak 60% B40 ke asrama

A
A
A
​​​​​​PADA minggu lepas saya menerima panggilan telefon daripada seorang wartawan bertanyakan tentang isu Dr Maszlee mengarahkan pengambilan 60% golongan B40 untuk kemasukan sekolah asrama penuh. Saya pun bertanya apa isu yang nak dibangkitkan? Saya amat terkejut apabila wartawan memberitahu bahawa perkara ini menjadi isu sebab golongan pendapatan tinggi Melayu marah anak-anak mereka dapat 5A disisihkan dari peluang masuk sekolah asrama penuh.

Selepas saya tertawa saya pun mengeluh dan memberi pandangan saya mengapa saya menyokong penuh tindakan Dr Maszlee ini. Kalau ikutkan saya, jika saya Menteri Pendidikan, saya usulkan 100% kemasukan golongan B40 ini bagi memberi peluang kepada anak-anak Melayu kita membangun dengan baik dan bersaing mudah dengan anak-anak Melayu golongan berpendapatan tinggi.

Saya berpendapat, kenapa perkara ini menjadi isu? Sebenarnya, sefaham saya, sekolah berasrama tujuan asal adalah untuk mengambil anak-anak luar bandar yang serba kekurangan infrastruktur pembelajaran baik untuk mengubah nasib mereka dan menyamatarafkan peluang sosioekonomi bangsa Melayu sendiri serta berupaya juga bersaing dengan kaum-kaum lain.

Di manakah kesilapan kita orang Melayu sehinggakan Dr Maszlee naik Menteri Pendidikan barulah dikuatkuasakan kemasukan untuk golongan B40 ini? Saya berpendapat sebab utama adalah pihak pentadbiran sekolah dan pentadbiran pendidikan sendiri yang perlu ditegur dalam hal ini. Pihak sekolah dan pihak pentadbiran berkemungkinan menggunakan peluang kuasa mereka memasukkan anak-anak mereka sendiri walaupun mereka bukan tergolong rakyat berpendapatan rendah.

Kononnya, kalau masuk asrama terjamin masa depan dan peluang ke universiti sebab semua sekolah asrama penuh berkeputusan cemerlang setiap tahun. Maka itu, saya katakan bahawa pihak pentadbiran pendidikan dan sekolah menjadi seperti pepatah Melayu, harapkan pagar, pagar yang makan padi.

Sekarang kita selalu mendengar para pejuang ekstremis Melayu melaungkan ketuanan Melayu terancam oleh kaum-kaum bukan Melayu, tetapi satu hakikatnya, kaum kita sendiri yang nampaknya menjadi perosak bangsa sendiri. Bukankah begitu?

Keduanya, saya berpendapat pihak pentadbiran sekolah pula perlu dipersalahkan kerana gila-imej sekolah lulus kelas pertama 100% SPM. Pernah anak saudara sebelah isteri saya yang mempunyai keputusan tidak cemerlang dimarah dan dikacau untuk memastikan sekolah tidak tercemar dengan rekod 99% lulus kelas pertama.

Anak saudara kami itu akhirnya terpaksa tarik diri atas kekusutan mental dan sekolahnya dapat mengekalkan rekod kehebatan 100%. Saya jangka, pihak pentadbiran sekolah juga hendak kerja senang dengan mengambil semua pelajar 5A yang kebanyakan daripada golongan berada kerana mereka ini senang diajar, tak payah kerja kuat-kuat.

Lagipun PIBG sekolah ini boleh mendapat sumbangan wang banyak dari golongan elit Melayu yang anak-anak mereka bersekolah di sana. Rakan saya sendiri suami isteri berjawatan profesor di universiti awam memasukkan dua anak-anak mereka dalam asrama penuh.

Artikel Berkaitan:

Ketiganya, saya ingin menyentuh ibu bapa golongan elit Melayu yang tidak prihatin tentang usaha murni kerajaan awal Barisan Nasional untuk menaik taraf kedudukan ekonomi orang Melayu melalui ejen pendidikan sekolah asrama. Yang sedihnya bila isu Dasar Ekonomi yang perlu berpihak kepada orang Melayu, golongan ini yang paling kuat melobi agar ia dikekalkan kerana orang Melayu tidak cukup kaya berbanding kaum lain.

Nak kaya macam mana, kamu golongan elit dah ambil tempat anak-anak Melayu B40! Itulah kata pepatah Melayu kuman seberang sungai boleh nampak tetapi gajah bertenggek depan batang hidung, haram tak nampak pun! Macam manalah orang Melayu nak berjaya?

Saya masukkan anak-anak saya ke sekolah awam dan ada yang saya masukkan ke sekolah swasta. Saya membuat pelaburan besar untuk memastikan anak-anak yang kurang laju dalam pelajaran diberikan tumpuan lebih di sekolah swasta. Saya menerima tanggungjawab mendidik anak-anak saya di atas bahu sendiri dan tidak ambil tempat anak-anak Melayu miskin untuk pergi ke asrama.

Dr Maszlee bekas pensyarah UIAM dan dikirakan golongan berpendapatan sederhana tinggi. Beliau tidak mengikut selera kawan, sahabat handai yang sesama golongan dengan mengambil keputusan 60% B40 ini. Beliau menyerlahkan sifat kepimpinan adil tanpa kepentingan status sendiri dan golongan sedemikian dengannya.

Janganlah orang Melayu membidas kaum lain tentang isu kedudukan sosioekonomi Melayu jika tangan mereka juga berpalit tahi. Usaha untuk membantu orang Melayu B40 bukanlah tanggungjawab kerajaan PH semata-mata tetapi menjadi tanggungjawab semua golongan Melayu kelas atasan yang berlapang dada terhadap membuka peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk mendidik anak mereka.

* Penulis ialah Profesor Senibina di sebuah universiti swasta tempatan