PSMCNPs sokong Respa gubal undang-undang sekat ideologi komunisme

Laporan Sinar Harian berkaitan isu ancaman ideologi komunis di negara ini.
Laporan Sinar Harian berkaitan isu ancaman ideologi komunis di negara ini.
A
A
A

KANGAR - Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Perlis (PSMCNPs) menyokong penuh saranan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) supaya kerajaan menggubal undang-undang untuk menyekat penyebaran ideologi komunisme di negara ini.

Pengerusinya, Busu Ibrahim berkata, langkah tersebut wajar kerana sejarah jelas membuktikan bahawa gerakan komunis zalim dan kejam membunuh insan yang tidak berdosa.

"Justeru semua pihak yang menyedari hakikat sebenar sejarah kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) hendaklah melaungkan kata sepakat meminta kerajaan menyekat sepenuhnya sebarang percubaan untuk menghidupkan kembali ideologi komunisme di negara ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Ancaman komunis serius, bukan main-main'

Beliau mengulas saranan Presiden Respa, Tan Sri Mohd Ismail Che Ros supaya kerajaan menggubal undang-undang dan peraturan yang lebih jelas untuk mengharamkan sebarang gerakan yang membawa ideologi komunisme.

Busu berkata, fakta sejarah tentang kekejaman komunis di negara ini perlu dipertahankan agar tidak ada sesiapa yang boleh mengubah sejarah negara untuk meletakkan pengganas komunis sebagai pejuang negara.

Beliau turut bersetuju dengan kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar bahawa usaha menghidupkan kembali ideologi komunis adalah melanggar perjanjian dibuat kerajaan di Hatyai, Thailand pada 2 Disember 1989 yang jelas menyatakan bekas ahli PKM tidak lagi dibenarkan menyebar atau cuba menghidupkan ideologi tersebut di negara ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: