Singa Utara tagih kepakaran Holland

Foto: Goal.com
Foto: Goal.com
A
A
A

BEKAS pemain akademi kelab Liga Inggeris, Swansea City, Matt Holland, dilantik Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang baharu dalam usahanya meraih keputusan positif pada saingan Liga Malaysia 2019.

PFA menerusi entri terbaharu laman Facebooknya semalam memaklumkan bahawa jurulatih berusia 30 tahun dari Wales itu mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak di seluruh dunia sebagai pemain, sebelum menjadi jurulatih bola sepak di beberapa buah negara, antaranya di Eropah, Amerika Syarikat, India, Thailand, Australia dan Malaysia.

Holland yang pernah berkhidmat sebagai jurulatih skuad projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dari 2014-2015, pernah menjadi penolong jurulatih kelab Liga Satu Thailand, Port FC pada 2015 dan kelab Liga Super India, Bengaluru FC pada 2016 serta pernah menjadi Pengarah Teknikal Kelab Liga Satu Thailand, Buriram United dari 2016 hingga 2018.

“Beliau juga mempunyai lesen kejurulatihan 'AFC Pro License' dan diharap dengan pengalaman itu beliau dapat membantu Perlis Northern Lions memperoleh keputusan yang baik dalam kempen Liga Malaysia 2019,” jelas PFA. - Bernama

Artikel Berkaitan: