X

Kindly register in order to view this article
!

LPP sasar 30 peratus ahli petani muda

Mazlan (dua dari kiri) cuba mengendalikan mesin penanaman padi sempena Karnival Pesawah [email protected] Panjang di Sekinchan, Selangor semalam.
A
A

SEKINCHAN - [DIKEMASKINI] Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sedang berusaha memastikan 30 peratus daripada ahlinya terdiri daripada golongan muda dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, ketika ini hanya 15 peratus golongan muda menjadi Ahli Pertubuhan Peladang dan jumlah itu adalah sebahagian kecil daripada seramai 920,000 jumlah keseluruhan ahli pertubuhan berkenaan.

Menurutnya, golongan muda disarankan supaya bergiat aktif dalam bidang pertanian bagi meningkatkan pendapatan mereka dan negara.

“Antara penekanan dalam kempen dalam talian adalah menyasarkan sejuta Ahli Pertubuhan Peladang dengan keutamaan penyertaan golongan muda.

“Justeru, kami perlu memikirkan apakah yang boleh menjadi tarikan kepada golongan muda untuk menyertai sektor perladangan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Pesawah [email protected] Panjang di Dewan Dato’ Muhd Fauzi di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Pasir Panjang, Mardi Sukir dan Ketua Pengarah LPP, Azulita Salim.

Sementara itu, Mazlan berkata, kerajaan kini giat membangunkan teknologi dan inovasi baharu dalam sektor pertanian bagi menarik minat golongan muda.

Menurutnya, satu mekanisme baharu dalam industri pertanian perlu diwujudkan bagi menarik minat golongan itu untuk menjadikan bidang pertanian sebagai kerjaya yang menjanjikan pulangan pendapatan yang tinggi.

“Kita akan dapatkan input berhubung perkara ini daripada pemain industri, bukan sahaja pada peringkat tempatan tetapi luar negara.

“Industri ini telah berkembang di seluruh dunia seperti di Jepun, Itali, Korea Selatan dan Taiwan,” katanya.

Mazlan (dua dari kanan) dan Azulita (kanan) melakukan simbolik perasmian Karnival Pesawah Padi@Pasir Panjang di Dewan Dato’ Muhd Fauzi, Sekinchan, Selangor semalam.
Mazlan (dua dari kanan) dan Azulita (kanan) melakukan simbolik perasmian Karnival Pesawah [email protected] Panjang di Dewan Dato’ Muhd Fauzi, Sekinchan, Selangor semalam.

Sehubungan itu, beliau bercadang mahu menganjurkan pameran yang menghimpunkan teknologi dan inovasi sektor pertanian supaya ia diketengahkan seperti penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA).

“Kalau kita hendak pergi ke negara luar, mungkin ada pertimbangan dari segi kos dan sebagainya.

“Namun, jika kita himpunkan semua pemain industri seperti konsep LIMA, mereka boleh mempamerkan jentera dan pelbagai inovasi yang tentunya mampu menarik minat dan perhatian golongan muda,” katanya.

Mazlan berkata, negara amat memerlukan tenaga muda untuk meneruskan kesinambungan yang ditinggalkan golongan veteran yang selama ini menjadi tunjang kepada sektor pertanian negara.

"Kita bimbang jika golongan tua tidak lagi bergiat aktif dalam sektor ini, ditambah pula dengan kekurangan golongan muda, ia memberi kesan kepada bekalan keselamatan makanan negara pada masa hadapan," katanya.

Menurutnya, menerusi penggunaan teknologi moden, tempoh tanaman padi mampu disingkatkan kepada 75 hari seperti di beberapa negara lain yang mengaplikasikannya.

Mazlan (berdiri, enam dari kanan), Azulita (berdiri, enam dari kiri) dan Mardi (berdiri, lima dari kanan) bersama penerima bantuan kelengkapan sekolah dan pengerusi serta wakil PPK yang menerima cek bernilai RM1,000.
Mazlan (berdiri, enam dari kanan), Azulita (berdiri, enam dari kiri) dan Mardi (berdiri, lima dari kanan) bersama penerima bantuan kelengkapan sekolah dan pengerusi serta wakil PPK yang menerima cek bernilai RM1,000.

"Kita masih berlegar 100 hari tempoh tanaman, malah di luar jelapang pula mengambil masa sehingga tempoh semusim dan ini yang akan kita teliti untuk penambahbaikan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Karnival Pesawah [email protected] Panjang, Mazlan berkata, program julung kali diadakan itu menarik penyertaan kira-kira 500 peserta.

Menurutnya, karnival tersebut adalah pengiktirafan dan penghormatan kerajaan terhadap peranan serta jasa pesawah dalam menghasilkan pengeluaran padi beras untuk keperluan negara.

"Ia juga membantu kerajaan memperkenalkan input pertanian melibatkan baja, racun dan makhluk perosak serta inovasi baharu bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran padi," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!