Tenggelamnya budaya berterima kasih

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BERDASARKAN Teori Interaksi Sosial, sesebuah masyarakat akan sentiasa berada dalam keadaan harmoni dan menghormati dan saling menghargai di antara satu sama lain diamalkan dalam masyarakat.

Terdapat pelbagai kaedah penghormatan dan penghargaan yang boleh diamalkan oleh masyarakat di Malaysia untuk memastikan kedamaian dan keharmonian negara yang dinikmati semenjak mencapai kemerdekaan akan berterusan di masa hadapan.

Di antara kaedah yang boleh diamalkan ialah membudayakan ucapan terima kasih dalam setiap aktiviti dan kegiatan seharian.

Walaupun ucapan terima kasih itu singkat dan mudah untuk dilafazkan, namun masih ramai lagi dalam kalangan masyarakat tidak dapat menghayati dan membudayakan ucapan keramat ini dalam kehidupan seharian mereka.

Seringkali ucapan terima kasih itu hanya diucapkan kepada orang dan masa yang tertentu sahaja dan bukan sebagai amalan atau budaya kehidupan seharian.

Oleh yang demikian, adalah sangat penting bagi setiap ahli masyarakat membudayakan ucapan terima kasih tanpa mengira siapa dan di mana kerana impak daripada ucapan itu akan meninggalkan kesan yang sangat signifikan kepada motivasi, pencapaian serta kualiti masyarakat yang terlibat kerana masyarakat akan merasai mereka dihargai.

Sebagai warganegara Malaysia, setiap ahli masyarakat wajar mengucapkan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan kepimpinan negara kerana berjaya membangunkan negara ini setanding dengan negara maju lain.

Terdapat pelbagai kaedah boleh dilakukan untuk menterjemahkan ucapan terima kasih kepada negara dan antara kaedah tersebut ialah menjaga dan menggunakan segala kemudahan awam yang disediakan kerajaan dengan baik.

Artikel Berkaitan:

Selain daripada itu, ia juga boleh dimanifestasikan dengan menjaga kebersihan dan alam sekitar.

Sokongan kepada dasar dan agenda negara juga merupakan salah satu kaedah membuktikan ucapan terima kasih kepada negara.

Amalan sebegitu bukan sahaja mampu mewujudkan keharmonian dan kedamaian tetapi ia menjimatkan perbelanjaan negara kerana peruntukan kos pembersihan boleh dikurangkan.

Motivasi untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab bukan sahaja bergantung kepada gaji yang diperoleh tetapi apa yang lebih penting penghargaan oleh majikan kepada mereka.

Tanpa adanya sebarang penghargaan ataupun ucapan terima kasih daripada majikan, pastinya semangat dan motivasi pekerja untuk menghasilkan produk yang berkualiti akan terjejas.

Oleh itu, sangat wajar setiap rakan sekerja bermula daripada pengurusan tertinggi membudayakan ucapan terima kasih sesama ahli dalam organisasi yang terlibat.

Budaya sihat dan positif itu pastinya mampu melonjakkan rasa gembira dan semangat untuk berkhidmat di organisasi tersebut.

Ramai dalam kalangan masyarakat yang berasa kekok untuk mengucapkan ucapan terima kasih sesama ahli keluarga seperti suami, isteri dan anak-anak.

Adalah menjadi suatu yang tersangat indah dan harmoni apabila budaya mengucapkan ucapan terima kasih itu subur dalam setiap keluarga.

Suami mengucapkan terima kasih kepada isteri kerana menyediakan makanan dan isteri mengucapkan terima kasih kepada suami kerana menjaganya dengan baik.

Anak-anak mengucapkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa disebabkan pengorbanan menyara dan membesarkan mereka sehingga dewasa.

Ucapan terima kasih juga boleh dibudayakan daripada ibu bapa kepada anak-anak.

Walaupun amalan itu masih belum diamalkan secara meluas di Malaysia, namun kesannya amatlah signifikan.

Budaya dan amalan memberi ucapan terima kasih dalam kalangan masyarakat ialah ubat paling mujarab untuk memastikan keharmonian dan kedamaian dikecapi negara ini berterusan.

Amalan membudayakan ucapan terima kasih bukan sahaja mengekalkan keharmonian dan kedamaian negara tetapi budaya itu juga boleh meningkatkan semangat, motivasi, produktiviti dan kualiti masyarakat.

Dengan adunan seperti itu, pastinya hasrat Malaysia mencapai status negara maju menjelang tahun 2030 menjadi kenyataan.

* Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Pakar Sosiologi