Intai peluang hantar graduan perbankan Islam berkhidmat di luar negara

Amiruddin Hamzah
Amiruddin Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia sedang mengintai peluang menghantar graduan perbankan Islam tempatan untuk berkhidmat di luar negara, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

Melihat kepada pencapaian Malaysia yang dinobatkan sebagai peneraju global dalam perbankan Islam, beliau berkata, Malaysia berupaya mengguna pakai ‘bakat’ tersebut di negara yang mampu menjana peluang pekerjaan yang besar.

"Kita memang dilihat terkehadapan (dalam perbankan Islam) dan kita nak mengekalkan kedudukan ini...sektor ini mampu untuk berikan peluang pekerjaan yang besar dan ramai graduan kita dalam perbankan Islam, takaful yang ada ini bukan sahaja untuk kita gunakan dalam negara, bahkan kita sedang rancang untuk eksport bakat ini untuk diguna di negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif mengenai Pencapaian Kementerian Kewangan (MOF) Sepanjang Tahun 2019 yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Berita RTM malam tadi.

Menurutnya, sektor perbankan Islam semakin berkembang pesat di pentas dunia, bahkan negara yang tidak ramai penganut agama Islam juga berebut menjadi hab global dalam bidang tersebut.

"Contoh di London (United Kingdom), kita tahu mereka merupakan hab kewangan konvensional tapi mereka juga lihat peluang yang ada ini dan bertindak untuk jadi hab kewangan Islam, melihat kepada potensi yang ada,” katanya yang turut diberi mandat mengetuai Jawatankuasa Khas Kewangan Islam (JKKI) di bawah MOF.

MOF pada Ogos lepas mengumumkan penubuhan JKKI untuk terus mempromosikan dan menggalakkan pembangunan kewangan Islam, selain mengukuhkan hala tuju mempromosikan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam terutamanya dalam pasaran sukuk.

Sementara itu, Amiruddin turut menegaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mengatakan bahawa mereka boleh menunaikan kesemua janji dalam manifesto ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu dengan cara sekali gus ataupun serentak dalam masa singkat.

Artikel Berkaitan:

"Yang dapat kita (PH) lakukan secara cepat dan pantas kita akan lakukan. Contohnya janji kita untuk menghapuskan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) yang pada ketika itu merupakan antara rungutan yang cukup kuat di kalangan rakyat menyebabkan kos sara hidup meningkat.

"Itu kita berjaya dan dapat kita laksanakan dengan segera dan cepat tanpa kita mengeluarkan belanja, cuma bila kita laksanakan itu sebenarnya kerajaan hilang pendapatan," katanya sambil menambah, kerajaan berusaha mencari hasil alternatif bagi menggantikan pendapatan yang hilang itu.

Pada masa sama, beliau turut menjelaskan, isu seperti tol bukanlah mudah untuk dihapuskan kerana kerajaan harus membuat bayaran kepada pelaburan yang dilakukan pihak pemegang konsesi.

"Bila kita hentikan, kita perlu bayar pampasan dan sebagainya, jadi itu semua melibatkan implikasi kewangan yang perlu kita lihat balik dengan secara lebih terperinci.

"Tetapi hasrat dan janji kita untuk mengurangkan, bukan menghapuskan... mengurangkan tol itu memang sedang rancak kita lihat kemungkinannya, insya-ALLAH apabila kajian-kajian ini selesai melihat dari segi implikasi kewangan dan sebagainya," jelasnya.

Sementara itu Amiruddin berkata, Sabah dan Sarawak tidak dipinggirkan kerajaan Persekutuan apabila tumpuan khas diberikan terhadap kedua-dua negeri itu dalam Belanjawan 2020.

"Projek-projek bekalan air luar bandar, projek untuk memastikan bekalan elektrik sampai sehingga di kawasan pedalaman, ini memang kita teruskan.

"Kita juga beri bajet khas untuk tujuan pembaikan sekolah daif di Sabah, Sarawak untuk memastikan anak-anak kita untuk belajar lebih selesa dan kondusif dalam pembelajaran mereka," katanya.

Menurutnya, aspek-aspek berkenaan memang diberikan perhatian oleh kerajaan dan Sabah serta Sarawak menjadi antara negeri yang mendapat komponen perbelanjaan yang besar. - Bernama