Rancang dahulu atau buat dahulu?

A
A
A

SELEPAS Isyak, ada juga ketikanya saya berkunjung ke restoran mamak bersama anak sulung saya, Hilman.

Dia seorang 'programmer' IT yang mempunyai bisnes sendiri. Topik perbualan dan perbincangan kami selalunya berkisar perihal kerja masing-masing.

Sebagai orang IT, banyak soalan mengenai teknologi terkini yang saya belajar daripadanya. Dia pula menggali pengalaman hidup yang saya ada.

Baru-baru ini, saya ke restoran mamak secara bersendirian. Hilman tak dapat bersama kerana masih belum pulang.

Dengan sebuah buku nota kecil, sebatang pen dan tentunya telefon, saya duduk di kerusi kegemaran saya iaitu yang membelakangkan skrin TV.

Saya mahu fokus berfikir. Biarlah tayangan bola sepak berlangsung. Saya hanya menoleh ke skrin apabila kedengaran pelanggan yang lain menjerit gol!

Tumpuan saya untuk mencatat apa yang terlintas di fikiran terhenti apabila terpandang seorang pemuda berkopiah yang duduk selang dua meja di hadapan.

Saya cam dia kerana kerap juga terserempak dia duduk sendirian bertemankan telefonnya apabila saya datang ke restoran bersama Hilman.

Artikel Berkaitan:

Saya mengagak yang dia sedang mencatat sesuatu daripada fikirannya di telefon dengan S-pennya.

Pandangan kami bertembung. Dia mengangkat tangan dan mengisyaratkan hendak datang ke meja saya.

Sudah tentu saya okey, lalu menggamitnya. Setelah bersalaman, dia memperkenalkan diri sebagai Abadi.

"Saya selalu nampak pak cik dekat sini. Dia anak pak cik, kan?" Abadi membuka kata.

"Macam mana awak tau?" tanya saya.

"Muka sama!" Abadi menjawab dan kami tertawa.

Saya jangka perbualan kami hanya berkisar hal-hal yang biasa, namun Abadi ialah seorang pemerhati.

Katanya, dia kerap terpandang saya dan Hilman berbincang hal-hal serius.

Itu yang menarik hatinya untuk berterus terang mahu berbincang dengan saya mengenai satu topik menarik.

Lantas dia bertanya, langkah manakah yang lebih baik, merancang dahulu atau buat dahulu? Saya jawab, terdapat pro dan kontra kedua-duanya.

Merancang terlebih dahulu sebelum bertindak ialah yang lazimnya kita lakukan.

Kita merancang perjalanan pada setiap pagi dengan merujuk pada GPS untuk mencari jalan yang lebih cepat.

Risiko

Melakukan sesuatu tanpa merancang terlebih dahulu samalah juga seperti menempah kegagalan.

Ia umpama menyeberangi sungai menggunakan sebuah jambatan gantung yang rapuh.

Apabila jambatan bergoyang dan serpihan lantainya berterbangan jatuh, kita dalam dilema sama ada hendak terus melangkah atau berundur.

Andainya kita merancang dengan mengambil kira risiko sebelum itu, mungkin kita menyeberang menggunakan perahu.

Sebaliknya, berbuat dahulu dan kemudian berfikir adalah kaedah bertindak pada hari ini. 'Speed is the language of the day'.

Andainya kita asyik berfikir untuk mempertimbangkan peluang dan risiko, keadaan sudah berubah dan kita akan terlepas peluang.

Pendekatan menggunakan perancangan akan berakhir dengan penangguhan, malah perancangan itu sendiri adalah suatu bentuk penangguhan jika kesempurnaan perancangan jadi keutamaan.

Jadi, apa yang terbaik? Rancang dahulu ataupun buat dahulu?

Pemikiran dan tindakan pada hari ini memerlukan ketangkasan menyesuaikan diri dengan keadaan. Kita perlu merangkul apa sahaja yang mendatang.

Merangkul dalam erti kata mengguna pakai peluang yang ada dan bersedia untuk melepaskannya bagi menggapai peluang lain.

Oportunis? Bukan begitu kerana oportunis mempunyai konotasi yang negatif.

Sebenarnya istilah yang lebih tepat, walaupun tiada maksud tepat dalam kamus ialah timist.

Bagi saya, timist ialah kebolehan menggunakan apa yang ada pada waktu yang tepat.

Keadaan yang cair pada hari ini menjadikan orang yang merancang terlalu lama itu ketinggalan kereta api.

Sebaliknya, jika bertindak sahaja dalam segala hal tanpa ada perancangan akan merugikan apabila sesuatu yang tidak dirancang menemui kegagalan.

Yang penting, kaedah tindakan hari ini memerlukan kita bertindak sambil merancang seperti melangkah sambil berfikir di manakah kaki kita akan berpijak.

Risiko memang ada tetapi sekurang-kurangnya pendekatan itu membolehkan kita melangkah ke hadapan. Ia lebih baik daripada duduk merancang mencari jalan sempurna tetapi belum buat apa-apa.

“Abadi tak rancang nak bertemu saya tetapi Abadi bertindak walaupun tahu mungkin saya tak akan melayan.

Tetapi kerana bertindak, kita sudah berkongsi banyak idea yang menarik,” kata saya kepada Abadi yang terangguk mengiyakan.* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian