Cubaan hidupkan komunis di Malaysia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RAKYAT Malaysia kini dilanda kegusaran dengan dakwaan terdapat gerakan secara senyap untuk cuba menghidupkan kembali Parti Komunis Malaya (PKM) di samping ingin memperjuangkan jasa parti itu terhadap negara ini.

Menurut pengetahuan penulis, pelbagai bukti ditemui melibatkan aktiviti oleh pergerakan terbabit yang dilihat seolah-olah mahu menghidupkan semula semangat komunisme di Malaysia yang telah pun mendapat liputan meluas daripada media.

Abu mayat bekas pemimpin PKM, Chin Peng secara diam-diam dibawa pulang ke Malaysia dan ditaburkan di beberapa tempat di Perak pada 16 September lalu. Satu majlis peringatan diadakan turut dihadiri 150 individu pada hari yang sama.

Kepulangan abu mayat Chin Peng ke tanah air telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada rakyat Malaysia khususnya kepada bekas tentera yang mengganggap tindakan tersebut mengguris hati mereka yang kehilangan keluarga dan sahabat akibat kekejaman komunis.

Namun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan membawa pulang abu mayat Chin Peng ke negara ini selepas kerajaan menetapkan keputusan mengenai larangannya sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya akan menyiasat secara terperinci mengenai dakwaan abu mayat Chin Peng dibawa masuk ke Malaysia dan tindakan sewajarnya akan diambil.

“Kita tidak mahu melihat isu itu berbangkit dan menimbulkan kemarahan terutama terhadap keluarga mangsa keganasan komunis, sama ada secara langsung dengan Chin Peng atau gerakan komunis pada zaman darurat dahulu,” katanya.

Belum reda isu abu mayat Ching Peng, kira-kira 300 bekas ahli PKM daripada beberapa persatuan menganjurkan pula perhimpunan bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 2 Disember 1989 di sebuah kolej swasta di Kajang pada 1 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Lebih mengguris perasan ramai pihak apabila salah seorang bekas anggota PKM, Tan Yi Yu berkata, perhimpunan itu bukan hanya untuk mengingati sejarah komunis tetapi juga membetulkan salah faham terhadap perjuangan mereka.

“Perjuangan KPM adalah peperangan antikolonial dan antiimprelisme yang berjuang untuk kemerdekaan, demokrasi, kebebasan dan keamanan,” dakwanya.

Memori negara

Selain mencipta naratif baharu, kenyataan yang mengguris hati rakyat Malaysia itu membuktikan pihak tersebut ingin menulis semula sejarah negara bagi mengangkat Chin Peng sebagai wira dan pejuang kemerdekaan sebenar di negara ini.

Walaupun polis mengesahkan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan, namun persoalan timbul apabila ada ahli yang hadir pada perjumpaan tersebut memakai pakaian seragam PKM seolah-olah mencabar undang-undang dan pihak berkuasa.

Rentetan peristiwa itu, seolah-olah ada golongan yang mahu menulis semula sejarah negara dan mahu PKM tidak lagi dibenci masyarakat awam yang mahu kekejaman dan kezaliman PKM dipadamkan daripada memori negara.

Umum mengetahui soal komunis itu adalah isu yang sangat sensitif dalam kalangan masyarakat kita.

Dalam pada itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar tiada rakyat di negeri Selangor yang keliru dengan fakta sejarah hingga mengagung-agungkan PKM.

Sultan Sharafuddin bertitah, sementara PKM turut dikatakan menentang penjajah, namun ideologi parti itu tidak berlandaskan konsep negara Malaysia merdeka yang berteraskan Demokrasi dan Raja Berperlembagaan.

“Fakta perjuangan ideologi PKM itu merupakan fakta sejarah yang perlu rakyat generasi sekarang memahaminya dengan mendalam agar kita tidak terpesong dengan fakta yang mengelirukan,” titah Sultan Sharafuddin sempena ulang tahun ke-73 hari keputeraannya baru-baru ini.

Oleh yang demikian, pihak kerajaan dan pihak berwajib perlu mengambil tindakan tegas kepada sesiapa sahaja yang cuba menghidupkan kembali PKM ataupun fahaman komunis.

Marilah kita sama-sama mengenang kembali perit-jerih bekas anggota tentera dan polis yang melawan komunis dan ahli keluarga yang menjadi mangsa kezaliman komunis di Tanah Melayu dahulu.

Sekiranya komunis diberikan pengiktirafan, maka sia-sialah perjuangan pihak keselamatan dahulu yang merupakan wira sanggup berkorban nyawa dan mengalami kecacatan kekal semata-mata mempertahankan kedaulatan negara kita.

* Aiman Sadiq Abdullah ialah Penulis Digital Sinar Harian