X

Kindly register in order to view this article
!

PEKA sokong operasi tangani peneroka haram di Cameron Highlands

Sharifah Sabrina
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA) menyokong tindakan kerajaan Pahang melaksanakan penguatkuasaan menerusi Operasi Lestari ke atas penerokaan secara haram di kawasan tadahan air Sungai Inchat di Kuala Terla, Tanah Tinggi Cameron Highlands sejak minggu lalu.

Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, sepatutnya langkah itu dilaksanakan sejak dahulu lagi dan tidak seharusnya ia dibiarkan berleluasa sehingga sukar dibendung.

“Kami sokong langkah kerajaan Pahang yang memusnahkan kawasan pertanian haram.

“Kalau boleh musnahkan semua kawasan yang tiada Lesen Pendudukan Sementara (TOL), bukan sahaja tertumpu kepada kawasan yang berisiko berlakunya pencemaran sungai,” katanya dipetik dalam portal Free Malaysia Today (FMT) hari ini.

Sharifah Sabrina turut mencadangkan agar pihak kerajaan segera menanam semula pokok hutan di kawasan kebun yang dimusnahkan jika serius mahu menjaga dan memulihara alam sekitar.

Menurutnya, perkara itu tidak akan selesai sekiranya kerajaan negeri melakukan penanaman semula menerusi tanaman sayur-sayuran.

“Kalau serius hendak banteras, kerajaan perlu tanam balik pokok-pokok hutan,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan perlu dilakukan bersama pekebun dengan garis panduan yang ditetapkan dan kerajaan Pahang wajar bertindak mengikut undang-undang jika mereka enggan mematuhi arahan berkenaan.

Sharifah Sabrina turut meminta kerajaan Pahang mengambil tindakan di kawasan haram yang lain di Pahang termasuk sekitar Bukit Tinggi.

Terdahulu, seramai tujuh lelaki ditahan polis dalam tunjuk perasaan oleh kira-kira 200 orang bagi membantah Operasi Lestari untuk merobohkan kebun sayur haram dan struktur bangunan di kawasan tanah tinggi itu.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Sallehuddin Ishak berkata, notis pengosongan tanah dikeluarkan sejak 19 Ogos 2009, namun aktiviti penerokaan tanpa izin masih diteruskan dan notis selanjutnya dikeluarkan pada 18 Februari lalu sebelum tindakan penguatkuasaan peringkat pertama melibatkan 11 kawasan penerokaan dilaksanakan pada 25 Februari sehingga 19 Mac.

Notis pengosongan peringkat kedua kepada baki sebanyak 37 penerokaan tanpa izin dikeluarkan pada 14 Mac 2019.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus