Mahkamah tetap 8 Januari pengurusan kes saman ADUN Pilah

Peguam Zaidi Abdul Hamid (tengah) berbincang dengan anak guamnya iaitu bekas pekerja Mohd Sanadi Ibrahim (kanan) dan Mohd Hazwan Izammudin (kiri) kepada ADUN Pilah Mohammad Nazaruddin Sabtu selepas memfailkan saman terhadap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan, dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan berhubung penamatan jawatan sebagai pegawai khas serta pembantu pejabat dan pegawai media, sebagai salah di sisi undang-undang di Mahkamah Sesyen hari ini.
Peguam Zaidi Abdul Hamid (tengah) berbincang dengan anak guamnya iaitu bekas pekerja Mohd Sanadi Ibrahim (kanan) dan Mohd Hazwan Izammudin (kiri) kepada ADUN Pilah Mohammad Nazaruddin Sabtu selepas memfailkan saman terhadap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan, dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan berhubung penamatan jawatan sebagai pegawai khas serta pembantu pejabat dan pegawai media, sebagai salah di sisi undang-undang di Mahkamah Sesyen hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah hari ini menetapkan 8 Januari tahun hadapan sebagai tarikh pengurusan kes saman membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Mohamad Nazaruddin Sabtu dan anak lelakinya, Mohd Rizal yang dikemukakan dua bekas pekerja, November lepas.

Peguam, Zaidi Abdul Hamid yang mewakili dua bekas pekerja berkenaan memberitahu media hari ini, kes itu telah disebut di hadapan Pendaftar Mahkamah Sesyen Rahimah Rahim, hari ini manakala Mohamad Nazaruddin dan Mohd Rizal selaku defendan bagaimanapun tidak hadir.

Pada 22 November lepas, Mohd Sanadi Ibrahim, 56, dan Mohd Hazwan Izammudin, 33, selaku plaintif memfailkan saman menerusi Tetuan Zaidi and Associates terhadap Mohamad Nazaruddin yang juga Exco Kesenian, Kebudayaan Dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan dan Mohd Rizal yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua, berhubung penamatan jawatan mereka sebagai pegawai khas serta pembantu pejabat dan pegawai media sebagai salah di sisi undang-undang.

Dalam pernyataan tuntutan yang diperoleh media hari ini, Mohd Sanadi dan Mohd Hazwan mendakwa defendan pertama telah mengeluarkan notis penamatan jawatan mereka pada 31 Oktober lepas tetapi hanya dimaklumkan kepadanya oleh defendan kedua yang tidak memegang sebarang jawatan pentadbiran atau sumber manusia di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Pilah pada 14 November lepas secara salah dan tanpa sebab yang munasabah.

Kedua-dua plaintif mendakwa bahawa notis penamatan jawatan tersebut merupakan suatu penamatan perkhidmatan yang tidak sah di sisi undang-undang yang dibuat secara mala fide, tidak mengikut peraturan, tidak adil, dibuat tanpa sebab yang munasabah dan melanggar prinsip undang-undang.

Mereka juga mendakwa, notis penamatan tugas telah dimuat naik oleh defendan-defendan kepada pihak ketiga di Facebook serta kumpulan WhatsApp, yang merupakan suatu tindakan fitnah dan berniat jahat.

Sehubungan itu, kedua-dua plaintif mendakwa kenyataan yang dibuat defendan-defendan telah merendahkan maruah dan martabat mereka yang mewakili wakil rakyat dan sering berhubung dengan ahli politik peringkat daerah dan negeri, ahli Majlis Pengurusan Kampung-Kampung daerah Kuala Pilah, wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan di Negeri Sembilan dan Malaysia juga Exco Kerajaan Negeri dan Menteri Besar.

Mohd Sanadi yang mendakwa melapor diri sebagai pegawai khas pada 8 Oktober tahun lepas manakala Mohd Hazwan sebagai pembantu pejabat dan pegawai media pada 1 Disember tahun lepas, masing-masing turut menuntut RM500,000 sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan daripada kedua-dua defendan selain bayaran tiga bulan gaji sebagai ganti notis penamatan perkhidmatan dan menarik balik arahan atau perlaksanaan notis penamatan jawatan kedua-dua plaintif di Pusat Khidmat DUN Pilah daripada defendan pertama.

Artikel Berkaitan:

Plaintif turut menuntut defendan-defendan menarik balik tanpa syarat pernyataan fitnah serta notis minta maaf dalam aplikasi media sosial WhatsApp dan Facebook yang berkenaan selama satu minggu daripada tarikh perintah serta faedah lima peratus setahun ke atas jumlah perintah yang dikira bermula dari tarikh perintah sehingga tarikh penyelesaian penuh. - Bernama