X

Kindly register in order to view this article
!

Teresa Kok saman Azwanddin berhubung ucapan berbaur fitnah

Teresa Kok dan Azwanddin
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim hari ini memfailkan saman terhadap presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkannya dalam pertikaian tanah melibatkan kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya.

Teresa memfailkan saman itu melalui firma guaman, S.N.Nair & Partners, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini dan menamakan Azwanddin atas kapasiti peribadi dan selaku presiden JMM sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam kenyataan tuntutannya, Teresa berkata bahawa pada 25 Disember pada satu perhimpunan yang diadakan di Dataran Seni Klang, Selangor, Azwanddin sebagai presiden JMM telah menyampaikan ucapan yang antara lain mengandungi perkataan-perkataan berunsur fitnah secara lisan, fitnah bertulis dan pembohongan.

Plaintif mendakwa bahawa ucapan itu diterbitkan semula oleh defendan menerusi portal media dalam talian di dalam dan luar negara.

Beliau mendakwa ucapan itu dalam pengertian biasa dan pengertian semula jadi bermaksud antara lain bahawa beliau bersifat rasis, telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai menteri dan bertindak secara tidak adil serta tidak jujur, tidak beretika dan tidak berprinsip sebagai seorang menteri.

Teresa mendakwa bahawa ucapan itu juga dalam pengertian biasa dan pengertian semula jadi adalah tidak benar, berniat jahat, secara sengaja dan dilakukan tanpa mengambil kira kebenaran mengenai perkara itu dan secara serius membawa kemudaratan kepada reputasi plaintif.

Beliau juga mendakwa bahawa defendan telah menyebabkan penerbitan ucapan tersebut dengan niat dan motif untuk memfitnah plaintif atas kapasiti peribadi dan rasmi dan dibuat secara mala fide dan niat jahat.

Menteri itu mendakwa bahawa ucapan tersebut diterbitkan dengan tujuan menghasut orang awam dan memburuk-burukkan plaintif dan disampaikan secara tidak bertanggungjawab kepada orang ramai dan secara khusus dibuat bagi mendapat sensasi murahan untuk mencetuskan kekacauan dan kemungkinan membawa bahaya secara fizikal dan kemudaratan lain kepada plaintif.

Akibatnya, ia telah menyebabkan plaintif mengalami kesengsaraan, kerisauan dan menanggung aib, dan oleh itu, plaintif berhak memperoleh ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Teresa berkata, beliau pada 26 dan 31 Disember 2018 telah menghantar surat tuntutan melalui peguamnya menuntut defendan menarik balik, memohon maaf dan membayar ganti rugi kepadanya tetapi ia tidak diendahkan dan defendan enggan berbuat demikian.

Oleh itu, plaintif memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta injunksi untjuk menghalang defendan sama ada melalui ejen dan/atau mana-mana orang lain daripada terus menuturkan, menulis atau menerbitkan ucapan yang sama, dan juga kos. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!