Bekalan air di Hospital Serdang kembali pulih

Hospital Serdang (Gambar kecil: Khalid)
Hospital Serdang (Gambar kecil: Khalid)
A
A
A

SHAH ALAM - Bekalan air di Hospital Serdang sebelum ini dicatu berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih kembali pulih dan beroperasi seperti biasa.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, bekalan air yang dicatu di hospital berkenaan dilaporkan kembali pulih sekitar jam 5 pagi tadi.

Beliau berkata, sebelum ini, hospital tersebut mendapatkan bantuan bekalan air menerusi lori tangki Jabatan Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Bekalan air mula dicatu pada 21 Disember lalu dan ia kembali normal pada sekitar jam 5 pagi tadi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sebelum ini Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bekalan air di Hospital Serdang dan Hospital Banting dicatu berikutan daripada insiden penutupan LRA Sungai Semenyih itu.

Noor Hisham berkata, catuan itu terpaksa dilakukan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan di dua hospital berkenaan dapat dijalankan.

Bagaimanapun, situasi air di Hospital Banting dilaporkan kembali berada dalam keadaan terkawal semalam berikutan mendapat bantuan bekalan daripada LRA Labohan Dagang yang mula beroperasi sejak Jun lepas.

LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi sebelum ini terpaksa dihenti tugas ekoran daripada insiden pencemaran bau yang telah menjejaskan lebih 1.5 juta pengguna di kawasan Hulu Langat, Sepang, Putrajaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat.

Artikel Berkaitan: