Dua penjenayah culik ahli perniagaan ditembak mati

Shafie (dua, dari kanan) menunjukkan pistol yang ditemui bersama suspek selepas kejadian tembak menembak di Mersing malam semalam.- Foto Ihsan Polis Johor
Shafie (dua, dari kanan) menunjukkan pistol yang ditemui bersama suspek selepas kejadian tembak menembak di Mersing malam semalam.- Foto Ihsan Polis Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU – Polis menembak mati dua penjenayah dipercayai terbabit dalam kes penculikan seorang ahli perniagaan warga tempatan pada 17 Disember lalu di Ulu Tiram di sini.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Shafie Ismail berkata, kedua-dua suspek berusia 39 dan 52 tahun itu akhirnya maut dalam kejadian berbalas tembakan di satu kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Meta, Mersing kira-kira jam 2 pagi tadi.

Menurutnya, dalam kejadian itu, mangsa culik yang juga seorang lelaki berusia 41 tahun berjaya diselamatkan dan mengalami kecederaan kerana terkena tembakan daripada suspek.

Beliau berkata, kejadian itu juga merupakan susulan daripada kejadian tembak-menembak kira-kira jam 8.30 malam semalam sebaik polis mengesan kedudukan mangsa yang ketika itu disembunyikan dalam sebuah kereta jenis Honda City berwarna hitam di kawasan berkenaan.

“Semasa pasukan polis mahu menghampiri kereta itu, mereka telah dihujani beberapa das tembakan oleh dua penjenayah yang turut mengakibatkan seorang pegawai kanan polis berpangkat Superitendan dan mangsa tercedera.

“Suspek ini kemudiannya bertindak melarikan diri ke dalam ladang sawit berkenaan sebelum polis mengaktifkan Ops Kesan dan Ops Tutup di sekitar Mersing bagi memburu mereka.

“Susulan itu, kira-kira jam 2 pagi tadi, pasukan polis berjaya mengesan suspek terbabit dan berlaku sekali lagi insiden tembak-menembak sebelum kedua-duanya berjaya ditumpaskan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Shafie berkata, pemeriksaan dilakukan mendapati kedua-dua penjenayah itu masing-masing menggunakan dua pistol semi auto jenis caliber 9mm serta 45mm.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek juga mempunyai beberapa rekod jenayah berkaitan senjata api, merompak, mencuri, memiliki senjata maut dalam rusuhan serta kesalahan di bawah Akta Hiburan.

Sementara itu, beliau berkata, polis kini sedang meneruskan usaha mengesan saki baki ahli kumpulan itu yang dipercayai melibatkan lima atau enam lagi suspek lain.

“Dalam kejadian ini wang tebusan tidak sempat dibayar oleh keluarga walaupun wang terbabit diminta setiap hari,” jelasnya.

Mengulas mengenai kejadian culik itu, Shafie berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang juga ahli perniagaan kilang plastik itu telah diculik sekumpulan lelaki sebaik keluar daripada rumahnya.

“Mangsa dipercayai telah diculik empat lelaki bertopeng yang bersenjatakan dua pistol di Taman Gaya Ulu Tiram di sini kira-kira jam 8.45 pagi ketika mahu keluar membeli makanan.

“Polis menerima makluman berkenaan perkara ini selepas ahli keluarga mangsa tampil membuat laporan polis yang memaklumkan penculik meminta wang tebusan sebanyak SG$10 juta (RM30 juta) daripada mereka,” katanya.

Tambahnya, keluarga mangsa turut diugut oleh penjenayah berkenaan untuk membunuh mangsa sekiranya wang tebusan itu tidak dibayar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961, Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.