Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia catat peningkatan

Mohd Uzir Mahidin - Foto Bernama
Mohd Uzir Mahidin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) mencatatkan peningkatan pada kadar 0.8 peratus kepada 122.4 mata indeks bagi tahun 2018 berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu dicatatkan pada statistik baharu berkaitan IKRM bagi tahun 2018 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.

Selain peningkatan keseluruhan statistik IKRM, subkomposit kesejahteraan ekonomi dan sosial masing-masing bertumbuh pada kadar 0.7 peratus dan satu peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Bagi tempoh 2000 hingga 2018, subkomposit kesejahteraan ekonomi meningkat 31.0 mata manakala subkomposit kesejahteraan sosial meningkat 17.7 mata.

"Subkomposit kesejahteraan ekonomi merangkumi komponen seperti pengangkutan, pendapatan dan pengagihan serta pendidikan manakala subkomposit sosial merangkumi komponen seperti liburan, keselamatan awam dan penyertaan sosial," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Mohd Uzir berkata, dari segi kesejahteraan ekonomi, komponen pengangkutan mencatatkan indeks tertinggi pada 2018 iaitu 134.7 mata indeks diikuti pendapatan dan pengagihan (133.4 mata indeks) dan komunikasi (130.8 mata indeks).

Bagi kesejahteraan sosial pula, beliau mendedahkan komponen liburan merekodkan indeks tertinggi iaitu 133.9 mata indeks diikuti keselamatan awam (132.4 mata indeks) dan penyertaan sosial (128.6 mata indeks).

"IKRM yang dibangunkan ini memberi gambaran mengenai tahap kesejahteraan rakyat menggunakan 14 komponen yang meliputi subkomposit kesejahteraan ekonomi dan subkomposit kesejahteraan sosial.

Artikel Berkaitan:

"IKRM merupakan penambahbaikan kepada Indeks Kualiti Hidup Malaysia (IKHM) yang diterbitkan buat pertama kalinya pada tahun 1999 bertujuan mengukur secara kuantitatif pencapaian negara dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat.

"IKRM akan dijadikan tanda aras penting dalam penggubalan dasar dan program ke arah mencapai negara maju berpendapatan tinggi yang inklusif dan mampan," katanya.