Bengkel tawar servis percuma van jenazah

Van jenazah yang mendapatkan servis percuma di bengkel tersebut turut dibersihkan oleh pekerja bengkel. - Foto Ismail Ahmad
Van jenazah yang mendapatkan servis percuma di bengkel tersebut turut dibersihkan oleh pekerja bengkel. - Foto Ismail Ahmad
A
A
A

IPOH - Dengan niat mahu menyumbang kepada masyarakat, sebuah bengkel kenderaan bumiputera di sini tampil dengan khidmat servis percuma bagi kenderaan jenazah masjid.

Ketua Pegawai Eksekutif Is Tayar Maju Sdn Bhd, Ismail Ahmad berkata, idea tersebut tercetus selepas sambutan menggalakkan kempen beli barangan Muslim (BMF) yang tercetus sebelum ini.

Menurutnya, hasil kempen tersebut telah memberikan kesan positif kepada perniagaannya yang mendapat sokongan khususnya dalam kalangan masyarakat Islam.

"Jadi inilah sumbangan saya kepada masyarakat khususnya umat Islam. Kita berikan servis kenderaan, tukar minyak hitam dan minyak hitam percuma kepada kenderaan jenazah milik masjid-masjid yang berdekatan dengan bengkel-bengkel kami.

"Kita tak kisah daripada mana asalkan kenderaan jenazah itu milik masjid. Program ini tiada had masa dan kita teruskan sampai bila-bila," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Antara van jenazah masjid yang mendapatkan perkhidmatan servis percuma daripada bengkel berkenaan. - Foto Ismail Ahmad
Antara van jenazah masjid yang mendapatkan perkhidmatan servis percuma daripada bengkel berkenaan. - Foto Ismail Ahmad

Ismail berkata, walaupun program itu baru dihebahkan, sehingga kini terdapat tujuh kenderaan jenazah yang sudah pun diberikan servis percuma.

Menurutnya, sumbangan seperti itu akan diteruskan sebagai salah satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan agama Islam.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perkhidmatan ditawarkan itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kewangan masjid.

Dalam pada itu, Ismail berkata, mana-mana masjid yang ingin mendapatkan perkhidmatan tersebut boleh terus ke bengkel berhampiran iaitu di cawangan IGB Tasek dan cawangan Jalan Kuala Kangsar di sini serta cawangan Pusat Perniagaan Gopeng, Gopeng atau menghubungi talian 05-2910559.

Ditanya mengenai kempen BMF, Ismail menjelaskan bahawa kempen tersebut amat baik dan membantu menggerakkan ekonomi masyarakat Islam.

Katanya, kempen berkenaan juga memberikan kesedaran kepada peniaga dan usahawan Muslim untuk turut sama menyumbang kepada masyarakat sama ada melalui pemberian zakat mahupun tanggungjawab sosial korporat.