Tentera Filipina, pemberontak komunis isytihar gencatan senjata

Gambar hiasan. - Foto Agensi
Gambar hiasan. - Foto Agensi
A
A
A

MANILA - Tentera Filipina hari ini mengarahkan semua unit untuk menghentikan operasi serangan terhadap pemberontak komunis susulan gencatan senjata selama 16 hari sempena Krismas dan Tahun Baharu.

Gencatan senjata itu yang akan berkuat kuasa sehingga jam 3.59 petang (waktu tempatan) 7 Januari depan telah diisytiharkan secara berasingan oleh Presiden Rodrigo Duterte dan pemimpin Parti Komunis Filipina (CPP) semalam.

Jurucakap tentera, Brigadier Jenderal Edgard Arevalo berkata, pasukan keselamatan telah menerima arahan mengarahkan pemberhentian semua operasi memerangi pengganas di tempat persembunyian mereka.

"Tentera bagaimanapun boleh menjalankan rondaan yang bertujuan mengamankan pangkalan dan kem mereka serta komuniti yang berada dalam bidang tanggungjawab mereka," katanya.

CPP juga mengarahkan anggota militianya untuk berhenti daripada menjalankan operasi ketenteraan terhadap tentera, polis dan pasukan kerajaan yang lain.

Pemberontak bagaimanapun akan berada dalam mod pertahanan terhadap sebarang tindakan atau pergerakan musuh yang bertentangan dengan perintah gencatan senjata.

"Operasi pertahanan aktif hanya dilakukan jika menghadapi bahaya yang jelas atau serangan bersenjata daripada pasukan musuh," jelas CPP.

Pemberontak komunis bertempur dengan kerajaan Filipina sejak 1960-an, menjadikan pergerakan itu sebagai salah satu pemberontakan paling lama di Asia.

Artikel Berkaitan:

Pada November 2017, Duterte menamatkan rundingan damai dengan pemberontak komunis di tengah-tengah serangan tanpa henti gerila. - Agensi