Tiada aduan kenaikan harga barang diterima - KPDNHEP

No Image Caption
A
A
A
KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan tidak menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga barang sepanjang seminggu pertama tahun ini.

Pengarahnya Khalid Tik berkata, pihaknya juga mendapati tiada peniaga yang bertindak menaikkan harga barang sepanjang penguatkuasaan dan operasi yang dilakukan dalam tempoh tersebut.

"KPDNHEP Kelantan menjalankan tinjauan setiap hari di pasar dan pasar raya seluruh jajahan di negeri ini termasuk di Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang.

“Namun daripada laporan yang diterima dan harga yang dipamerkan peniaga menunjukkan tiada kenaikan harga barangan yang tidak munasabah dikesan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Khalid berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati semua bekalan makanan mencukupi termasuk telur ayam pelbagai gred, ayam proses segar dan minyak masak.
Artikel Berkaitan:


Bagaimanapun, katanya orang awam yang mengesan berlaku kenaikan harga atau sebarang aktiviti pencatutan boleh memaklumkan kepada KPDNHEP Kelantan untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan sama, Khalid berkata harga telur ayam pelbagai gred masih kekal pada harga lama selepas mengalami penurunan sebanyak dua sen sejak sebulan lepas.

"KPDNHEP Kelantan akan meneruskan pemeriksaan dan tinjauan seperti biasa bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang kepada pengguna,” katanya. - Bernama