Sakitnya hati bila ada ‘kawan makan kawan’

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KAWAN makan kawan! Merak Jalanan yakin ramai orang pernah mengalami situasi menyentap jiwa itu.

Lebih tragis lagi apabila yang makan kawan itu adalah kawan baik sendiri. Puncanya tidak lain tidak bukan kerana duit. Ada yang sanggup tikam belakang, cilok projek kawan bila mata dan hati dikaburi dengan wang ringgit.

Nilai persahabatan yang dibina bertahun-tahun lamanya hancur dek kerana tamakkan kekayaan dunia.

Merak Jalanan memang benci jenis orang begini kerana sanggup putus kawan semata-mata mahu mengejar nikmat yang sementara.

Kaum kerabat Merak Jalanan sendiri pernah mengalami nasib sama apabila ada kawan dia ‘sailang’ projek yang diusahakan bersama dek kerana mahu untung besar.

Dua sahabat itu ke hulu ke hilir bertemu dengan klien. Membentangkan kertas cadangan dan berjaya memenangi hati klien. Untuk projek pertama masih diusahakan bersama tapi bila masuk projek kedua dan ketiga, kawan dia mula main kotor.

Buat urus niaga secara belakang tabir dengan klien tanpa pengetahuan saudara Merak Jalanan itu. Bila ditanya macam mana perkembangan terkini urus niaga dengan klien, kawannya cakap auta dengan beritahu klien tidak berminat untuk teruskan perniagaan.

Saudara Merak Jalanan pun percayalah sebab kawan baik sendiri yang cakap.

Artikel Berkaitan:

Tapi lama-kelamaan tembelang kawannya itu pecah bila saudara Merak Jalanan sendiri terjumpa dengan klien.

Terbakar hati dan hancur luluh perasaannya bila dapat tahu kawan sendiri sudah main tipu.

Apatah lagi persahabatan yang dibina atas semangat percaya-mempercayai itu runtuh disebabkan rezeki yang sedikit.

Ingatlah mungkin hari ini kita seronok melahap kesenangan atas penipuan namun esok lusa mungkin ia memakan diri sendiri.