X

Kindly register in order to view this article
!

Wasiat terakhir seorang ayah

A
A

QUOTE: "Membaca surah Al-Fatihah berkali-kali dalam sehari tetapi tidak ambil tahu maknanya, apatah lagi menghayatinya."

Kata-kata terakhir ayah saya Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya'kub sebelum meninggal hanyalah pembacaan surah Al-Fatihah. Beliau telah merevolusikan pendidikan di Malaysia ketika beliau hanya pegang jawatan Menteri Pelajaran selama setahun.

Ayah saya, pejuang Islam dan pendakwah Sarawak dan global, pada saat-saat terakhir di Hospital Normah Kuching Sarawak adalah dalam keadaan separuh sedar diri. Tiba-tiba ayah saya buka mata dan pegang tangan saya, lalu melihat tajam ke mata saya.

Beliau terus membaca penuh surah Al-Fatihah sambil merenung mata saya. Selepas membaca, beliau tutup mata kembali. Inilah kali terakhir ayah saya memandang saya dan bercakap dengan saya.

Kalau ditanya apakah falsafah pendidikan Allahyarham Tun Rahman, saya berkata bahawa hidup ayah saya memang mengalami pelbagai tahap perubahan ke arah kebaikan. Siapakah insan kamil yang sempurna zaman sekarang?

Tetapi yang paling jelas ialah era terakhir hidup ayah saya ialah beliau selalu ingatkan saya untuk menghayati Surah Al-Fatihah. Bahkan beberapa kali minta saya membacanya, lalu betulkan kesilapan tajwid saya.

Dia menyindir bahawa manusia sangat pelik. Membaca surah Al-Fatihah berkali-kali dalam sehari tetapi tidak ambil tahu maknanya, apatah lagi menghayatinya.

Lalu saya tertanya apakah jantung surah Al-Fatihah. Jantung surah Al-Fatihah ialah frasa Iyyaaka Na'budu dalam Ayat 5. Kalau kita bahagikan Surah Al-Fatihah kepada dua perenggan, kita akan lebih faham makna jantung ini.

Perenggan pertama ialah ayat 1 hingga 4. Perenggan kedua ialah Ayat 5-7. Kalau kita teliti, Ayat 1 - 4 adalah berkenaan dengan persoalan Siapa Allah. Ayat 5-7 adalah berkenaan Siapa Kita sebagai manusia. Terjemahan ringkas seperti berikut:

Ayat 1-4: "Dengan nama Allah yang Maha Penyayang dan Maha Menyayangi. Segala sifat terpuji milik Allah, Pencipta-Penjaga segala alam, yang Maha Penyayang dan Maha Menyayangi, yang memiliki Hari Pengadilan".

Ayat 5-7: "Hanya kepada Engkau, kami beribadah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lancar telus, iaitu jalan mereka yang Engkau beri nikmat, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan mereka yang sesat".

Frasa iyyaaka na'budu biasanya di terjemahkan sebagai Hanya kepada Engkau, kami sembah. Terjemahan sembah tidak tepat. Konsep ibadah dalam Islam adalah lebih luas daripada konsep sembah.

Contohnya, bayangkan soalan ini: Manakah satu berikut adalah tempat beribadah: McD atau masjid? Kalau anda jawab masjid, anda sudah salah. Kesalahan anda ialah kerana anda di pengaruhi oleh konsep sembah, bukan konsep 'ibadah. Konsep sembah mengurung keagamaan dalam ruang lingkup sekitar gereja, tokong, masjid sahaja.

Konsep 'ibadah meliputi seluruh kehidupan manusia bergantung kepada niat dan amalan kita. Contohnya tidur pun ibadah kalau niat kita kerana ALLAH SWT. Maka makan di McD adalah dikira ibadah kalau niat kerana ALLAH SWT dan makanan yang halal toyyib tetapi sembahyang di masjid tidak dikira ibadah kalau niat kita bukan kerana ALLAH SWT walaupun tepat gerakan solat!

Maka, bukan tempat atau institusi yang beribadah. Manusia yang beribadah. Kami yang beribadah (na'budu). Adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa sebuah institusi seperti parti, sekolah dan kereta itu islamik. Sifat islamik itu terletak pada orang yang beribadah, bukan pada benda yang bernama parti, sekolah, kereta. Pemandu yang mukallaf, bukan kereta.

Frasa "iyyaaka na'budu" juga meletakkan iyyaaka (Hanya kepada Engkau) dulu sebelum na'budu (kami ber'ibadah). Maknanya kita perlu meletakkan ALLAH SWT dulu di atas segala-galanya.

Tuan kita nombor satu ialah ALLAH SWT, bukan ketuanan bangsa, ketuanan ulama, ketuanan negara, ketuanan birokrasi dan ketuanan diri kita sendiri. Kesemua ketuanan ini selain ALLAH SWT adalah "Ilaah". Makna iyyaaka ialah Laa Ilaaha illa Allah iaitu tiada tuan atau tuhan yang berhak kita taati selain ALLAH SWT. Kita taat seseorang kerana ALLAH SWT yang perintah. Kita taat pemerintah kerana ALLAH SWT yang perintah kita mentaati mereka selagi mereka mentaati ALLAH SWT.

Iyyaaka Na'budu adalah kemerdekaan sejati!

* Xifu Naser Tun Rahman ialah Pensyarah UIAM Pemikiran Kritis


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!