Media Asia kukuhkan kerjasama

Fang Jiangshan
Fang Jiangshan
A
A
A

PERANAN media cetak mahupun elektronik dalam menyebarkan berita dan maklumat semakin mencabar lebih-lebih lagi dalam era media sosial yang berkembang tanpa sempadan ketika ini.

Media, terutama sekali media arus perdana, dipertanggungjawabkan dengan menjadi jambatan penghubung bukan sahaja antara kerajaan dengan rakyat, malahan juga mampu berfungsi dengan mengeratkan kerjasama dengan media-media asing di peringkat antarabangsa.

Itulah inisiatif yang diambil oleh People’s Daily, salah sebuah akhbar arus perdana terbesar di China apabila menganjurkan Forum Kerjasama Media 10+3 kali ke-10 yang bertajuk ‘China yang Terbuka dan Inklusif, Asia yang Makmur dan Sejahtera’.

Ia diadakan pada 15 Disember lalu di Chengdu, sebuah kota raya yang semakin pesat membangun di barat China.

Disertai lebih daripada 150 pengamal media yang mewakili 10 buah negara ASEAN dan tiga negara besar iaitu China, Korea dan Jepun serta enam negara lain iaitu Bangladesh, India, Maldives, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka.

Tiga wakil media dari Malaysia turut menghadiri forum tersebut. Selain Sinar Harian, dua akhbar lagi ialah New Straits Times dan Oriental Daily juga menghantar wakil.

Semua perwakilan media dari 19 negara bergambar kenangan sebelum memulakan Forum Kerjasama Media pada 15 Disember lalu di Chendu, China.
Semua perwakilan media dari 19 negara bergambar kenangan sebelum memulakan Forum Kerjasama Media pada 15 Disember lalu di Chendu, China.

Media-media utama daripada setiap negara ini menerima jemputan daripada pihak akhbar berkenaan bagi berbincang bagaimana antara media China dengan media-media di rantau Asia boleh bekerjasama membawa manfaat kepada kedua-dua pihak.

Artikel Berkaitan:

China, sudah membuktikan kemampuannya sebagai sebuah negara kuasa besar bukan sahaja di rantau Asia tetapi di dunia. Namun, bagi menghadapi cabaran masa depan, China mengakui ia perlu membuka tangan persahabatan dengan negara-negara luar.

Dalam sesi ucapan pembukaan majlis tersebut, Timbalan Ketua Pengarang People’s Daily, Fang Jiangshan mengharapkan melalui penganjuran forum itu, ia akan terus menjalinkan kerjasama antara China dengan negara-negara luar sehingga boleh membentuk situasi ‘menang-menang’ antara kedua-dua pihak.

Beliau berkata, pengamal media di Asia, lebih-lebih lagi negara-negara yang sedang membangun perlu bersuara lebih lantang agar menjadi negara yang berpengaruh dan berkuasa.

“Negara-negara Asia perlu terus bersikap bertoleransi, hormat-menghormati antara satu dengan lain. Kita juga perlu bertanggungjawab menyebarkan keindahan warisan budaya kita kepada seluruh dunia,” kata Jiangshan.

Menurutnya lagi, People’s Daily sedia menjadi rakan akrab bagi membantu pengamal-pengamal media asing menghadapi cabaran masa depan.

“People’s Daily ingin menyahut agenda Presiden China, Xi Jinping agar berganding bahu dengan rakan-rakan media asing untuk membentuk gabungan kerjasama berita ‘Satu Jalur Satu Jalan’.

“Gabungan kerjasama ini boleh menjadi ruang untuk pertukaran pandangan antara media dan memenuhi permintaan daripada media ‘10+3’.

“Dengan sumbangan yang diberikan pengamal-pengamal media negara asing ini, ia sudah pasti mampu meningkatkan kerjasama serta membuka lembaran baharu dunia penyiaran berita di peringkat antarabangsa,” katanya.

Selesai sahaja upacara perasmian, sesi perbincangan ‘meja bulat’ diadakan bagi memberi peluang kepada semua perwakilan mengemukakan pandangan berdasarkan topik forum kali ini.

Perwakilan media dari Malaysia iaitu Ketua Biro New Straits Times di Terengganu, Rosli Zakaria (kanan); Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Ong Boon Teck (tengah) dan Produser Sinar Harian Online, Haslina Kamaludin (kiri) bergambar dengan dua petugas sukarelawan selepas berakhirnya Forum Kerjasama Media di Hotel Shangri-La, Chengdu baru-baru ini.
Perwakilan media dari Malaysia iaitu Ketua Biro New Straits Times di Terengganu, Rosli Zakaria (kanan); Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Ong Boon Teck (tengah) dan Produser Sinar Harian Online, Haslina Kamaludin (kiri) bergambar dengan dua petugas sukarelawan selepas berakhirnya Forum Kerjasama Media di Hotel Shangri-La, Chengdu baru-baru ini.

Hasil daripada pandangan diberikan para perwakilan, rata-ratanya meminta kerajaan China agar bersikap terbuka dengan membenarkan pengamal-pengamal media asing bersemuka dan mengadakan temu bual dengan pemimpin-pemimpin tertinggi mereka.

Selain menganjurkan forum, pihak penganjur turut mengatur siri lawatan untuk para perwakilan media ke beberapa destinasi pelancongan menarik di Chengdu termasuk Muzium Sanxingdui, Pusat Kajian dan Ternakan Panda, Patung Terbesar Leshan dan Pusat Kraf Rotan di Meisan.

Tidak ketinggalan, para pengamal media berpeluang melihat secara dekat operasi di Stesen Keretapi Antarabangsa Chengdu dan Sistem Irigasi di Dujiangyan, yang menjadi tarikan lebih daripada lima juta pelancong dalam dan luar negara setiap tahun.