Lantikan politik dalam GLC perlu miliki kelayakan, kemahiran: Azmin

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan politik hanya akan dipertimbangkan untuk lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) jika mereka mempunyai merit berdasarkan kemahiran dan kelayakan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Pada pendapat saya, kita bersetuju bahawa tidak akan ada ganjaran politik dalam GLC, tetapi tidak dalam konteks bahawa ahli politik tidak boleh memegang sebarang jawatan.

"Ini kerana ada ahli politik yang profesional seperti akauntan, jurutera dan arkitek yang boleh menyumbang ke arah pembangunan GLC, tetapi kami memberi keutamaan kepada para profesional," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian pejabat eksekutif baru Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azmin berkata, tahap keyakinan perniagaan dalam ekonomi Malaysia semakin meningkat.

"Dari segi peningkatan peratusan pelaburan langsung asing selepas pilihan raya, ia sangat menggalakkan.

"Saya tidak mempunyai butiran pada masa ini, tetapi Kementerian Kewangan telah mengeluarkan kenyataan baru-baru ini mengenai nilai pelaburan yang telah direalisasikan di Malaysia selepas pilihan raya dan ia sangat memberangsangkan," katanya.

Beliau memetik pemulihan keyakinan pelabur sebagai cabaran terbesar bagi kerajaan baharu.

Artikel Berkaitan:

"Saya fikir beberapa inisiatif yang diambil Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed telah memulihkan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia, jadi kitai akan terus bergerak ke hadapan dan menumpukan kepada inisiatif terbabit," tambahnya. - Bernama