'Tak ada bantuan tak ada baju sekolah baru'

Raja Nazhatul Shima bersama sebahagian penerima Program Sumbangan Persekolahan (Luar Bandar) di Pusat Pakaian Hari Hari Cawangan Kuala Kangsar hari ini.
Raja Nazhatul Shima bersama sebahagian penerima Program Sumbangan Persekolahan (Luar Bandar) di Pusat Pakaian Hari Hari Cawangan Kuala Kangsar hari ini.
A
A
A

KUALA KANGSAR - "Jika tiada bantuan bermakna tak adalah pakaian sekolah baru untuk anak-anak," kata ibu kepada lima anak, Wan Norhana Mohd Rasid, 48.

Wan Norhana berkata, dia dan suami yang mengalami masalah kesihatan tidak mempunyai pendapatan tetap dan banyak bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

"Dengan duit itulah kami berjimat untuk belanja dan yuran sekolah anak-anak, memang tak cukup untuk beli kelengkapan baru, selalunya mereka pakai baju, kasut dan beg sekolah lama sahaja.

"Anak-anak faham kesusahan keluarga," kata suri rumah itu.

Wan Norhana
Wan Norhana

Wan Norhana dari Karai di sini antara 60 keluarga yang terpilih menyertai Program Sumbangan Persekolahan (Luar Bandar) bersama Raja Puan Besar Perak di Pusat Pakaian Hari Hari Cawangan Kuala Kangsar hari ini.

Artikel Berkaitan:

Program sempena kembali ke sekolah itu menyasarkan murid kalangan asnaf dan anak yatim pelbagai bangsa yang tinggal di luar bandar.

Wan Norhana berkata, pelaksanaan program seumpama itu banyak membantu meringankan beban ibu bapa yang perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM2,000 untuk keperluan sekolah anak-anak.

"Tiga anak saya masih bersekolah, alhamdulillah dua daripada mereka dapat bantuan membeli kelengkapan baru untuk sesi sekolah tahun hadapan.

"Mereka sangat seronok dan sebagai ibu saya bersyukur ada yang sudi membantu," katanya.

Program berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah.

Raja Nazhatul Shima turut berkenan meninjau keadaan Pusat Pakaian Hari Hari Cawangan Kuala Kangsar, hari ini.
Raja Nazhatul Shima turut berkenan meninjau keadaan Pusat Pakaian Hari Hari Cawangan Kuala Kangsar, hari ini.

Pengurus Besar Korporat dan Perhubungan Awam Pusat Pakaian Hari Hari Sdn Bhd, Amilludin Latip berkata, setiap peserta menerima dua pasang baju, dua pasang kasut, beg, stoking dan peralatan sekolah yang berharga lebih RM200.

Katanya, dengan sokongan diberikan Raja Puan Besar Perak, pihaknya bercadang meluaskan program bantuan seumpama itu kepada mangsa-mangsa tragedi seperti banjir dan kebakaran.

"Ini sebahagian daripada program tanggungjawab sosial (CSR) kita yang antara lain untuk memastikan mereka yang kurang berkemampuan dapat dibantu," katanya.